Takdir Allah telah menentukan bahawa ajal guru Al-Quranku, Tok Wan Li sampai setakat kelmarin sahaja. Kebetulan juga Allah mentakdirkan aku sempat bertemu dengannya di penghujung usianya biarpun pertemuan itu tidak mengizinkan lagi dia berbual atau bertanya khabar. Saat aku sampai di kampung, aku menziarahi setelah berehat seketika. Aku melihatnya sudah terbaring sakarat. Anak-anaknya dan kaum kerabat silih berganti menziarahinya.
Petang itu, aku datang melihatnya. Dia terbaring dengan mata terpejam. Dia sedang sakit. Sakit dalam perut. Ibuku kata ada bisul dalam perutnya. Beberapa orang menyebutnya sebagai barah. Abangku kata sakit dalam perut itu kebiasaan untuk orang tua seusianya. Usia Tok Wan Li telah menjangkau lebih 90 tahun. Sungguhpun sebelum ini dia amat sihat tapi, kelmarin dulu yang kulihat, dia telah kurus dan cengkung. Kali terakhir aku dihubungi Tok Wan Li melalui telifon ialah pada bulan Ramadhan yang lalu. Ketika itu aku masih di Sabah. Dia menceritakan kepadaku tentang puasanya satu hari yang ditinggalkan kerana sakit. Aku mengatakan bahawa Allah memaafkan puasa yang ditinggalkannya itu.
Beberapa minggu yang lalu, ibuku memberitahu tentang sakit Tok Wan Li. Ibuku membayangkan kemungkinan aku tidak akan sempat bertemunya lagi. Aku berserah kepada Allah. Allah yang menentukan ajal. Aku sudah pernah kematian Al-marhum bapaku sewaktu aku di perantauan. Bagiku, pertemuan terakhir tidak lebih penting berbanding pertemuan sebelumnya. Apa yang paling penting ialah pertemuan di hari akhirat.
Aku pulang daripada ziarah Tok Wan Li petang itu dan merasakan saat dia dipanggil Rabnya tidak lama lagi. Tetapi aku tidak tahu bila saat dan jamnya. Itu adalah rahsia Allah SWT. Namun, dia benar-benar sudah berada di penghujung hayat. Apa yang merungsingkan aku ialah kedudukan baringan Tok Wan Li yang diletakkan oleh anak-anaknya tidak menghadap ke arah kiblat. Aku melihat perlakuan qiam seperti dalam solat dilakukan oleh Tok Wan Li ketika sakitnya itu. Aku mendapat tahu, kedudukan Tok Wan Li tidak dihadapkan ke kiblat oleh anak-anaknya yang menjaganya sejak beberapa lama. Itulah merisaukan aku.
Petang itu aku berdoa kepada Allah agar memberikan aku kekuatan untuk melaksanakan misi penting merentangkan jalan akhir yang berbahagia buat Tok Wan Li. Aku mahu biarlah Tok Wan Li berhijrah meninggalkan dunia ini dalam keadaan berwuduk dan selesai solat yang dilakukan dalam keadaan suci. Sungguhpun perlakuannya memperlihatkan dia seperti solat, dia tidak diwudukkan.
Selepas solat Maghrib di masjid kampungku, aku terus menziarahi Tok Wan Li sekali lagi. Ketika itu hanya ada anak beranaknya. Aku duduk di sebelah Tok Wan Li yang kelihatan lali. Aku memberanikan diri untuk meminta izizn mengambilkan wuduk untuknya. Aku minta semangkuk air daripada anaknya. Alhamdulillah, mereka membawakan air tersebut. Aku bisikkan ke telinga Tok Wan Li bahawa aku akan mewudhukkannya. Lalu aku wudukkannya. Aku celupkan tanganku ke dalam air dan sapu di muka, tangan hingga siku, kepala dan kaki. Aku bisikan kepada Tok Wan Li bahawa aku telah selesai wudukkannya dan meminta kebenaran anaknya untuk mengubah posisi Tok Wan Li agar menghadap kiblat. Setelah itu, aku bisikkan ke telinga Tok Wan Li bahawa dia telah menghadap kiblat dan boleh solat maghrib kerana maghrib sudah masuk.
Kami duduk diam di sisinya, melihatnya menunaikan solat. Aku tidak pasti apakah dia solat atau tidak. Namun, beberapa kali tangannya diletakkan atas dada seperti orang qiam.
Setelah aku rasakan dia selesai solat, aku beritahu Tok Wan Li bahawa aku akan bacakan surah Al-Kahfi dan memintanya mendengar. Setahuku, Tok Wan Li hafal surah itu kerana pada satu ketika dahulu, sewaktu aku membacakan surah itu di sisi datukku yang sakit, dia menegur satu kesalahan baris yang kulakukan. Aku baca beberapa puluh ayat yang aku ingat sahaja. Aku ulang beberapa kali ayat yang menegaskan agar jangan mensyirikkan Tuhan. Mudah-mudahan tipu daya Iblis sirna di perjalanan akhir Tok Wan Li.
Setelah insya telah menghampiri, aku minta diri. Sebelum pergi aku sekali lagi mengingatkan Tok Wan Li tentang masa. Ketika itu jam 8 malam. Sebentar lagi akan masuk insya. Nanti, kalau sudah masuk insya, solatlah. Aku ingin belikan beberapa keperluan untuk Tok Wan Li di Kuala Nerang. Aku andaikan bahawa hayat Tok Wan Li ada beberapa hari lagi. Itulah harapanku. Aku mahu beli pampes agar pakaiannya boleh sentiasa dibersihkan. Dengan itu mudah untuknya solat. Solat amat penting terutama di penghujung hayat.
Aku pulang lewat. Sampai di rumahku, aku mendapat panggilan telefon daripada adikku yang berada di rumah Tok Wan Li, bahawa Tok Wan Li telah kembali bertemu Rabnya. Innalillahi wa inna ilaihi raji'un. Jam menunjukkan 10.20 malam. Itulah noktah muktamad untuk hayat seorang Tok Wan Li. Pada usia lebih 90 tahun. Pada khatimah yang baik, insya Allah.
Semoga Allah menempatkan Tok Wan Li pada tempat terbaik di akhirat. Dia adalah guruku yang amat berjasa. Mengajarkan aku mengenal Al-Quran. Di kampungku, berapa ramai anak muda sebayaku, lebih muda daripadaku, malah lebih tua daripadaku, pernah punya pengalaman belajar Al-Quran di rumah Tok Wan Li dan bergurukan Tok Wan Li. Dari zaman pelita minyak tanah hinggalah zaman lampu kalimantang. Aku rasa bilangan murid Tok Wan Li amat ramai dan tidak tahu aku menjumlahmnya. Bukan angka puluh malah angka ratusan. Mungkin tidak ribuan. Namun, jika dicampurkan dengan murid kepada murid-muridnya, seperti murid-muridku, mungkin sudah ribuan.
Pagi tadi selepas solat Subuh, dalam remang pagi berembun, aku menziarahi pusara Tok Wan Li. Tidak jauh daripada pusara bapaku. Aku berdiri di sisinya sambil berdoa di kepada Allah...
" Ya Allah, Engkau tahu bahawa hambaMu yang sedang terbujur dalam bumi ini adalah guru yang mengajarkan aku baca Al-Quran. Berama ramai pemuda dalam kempungku, dialah guru mereka. NabiMu bersabda bahawa sebaik-baik orang ialah yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya. Jadikanlah Al-Quran sebagai temannya dalam kubur, pembelanya di hari akhirat. Jadikan kuburnya satu taman syurga dan jauhilah daripada menjadi lubang neraka...amin
Aku bersaksi atas
zawahir yang aku kuasai, Tok Wan Li menjalani
husnul khatimah. "
Wallahu yatawallas sara ir"