Pemilik Blog

Pemilik Blog
Ust Kama (PerenungLangit)

TAQWIM HIJRI

Waktu Malaysia

WAKTU SOLAT

TEACHERS ONLINE

IDME E-OPERASI SPLKM HRMIS EHASIL PenyataGaji apdm NKRA(KEBERHASILAN) FROG VLE Pajsk

PDPR 2024

Blog PDPR PDPR Kedah SpKedah Hantar RPH SKSS

LAMAN ARAB

AL_QARADHAWI Al-Meshkat Islamweb Islam Online LiveIslam Soidul Fawaid Toriqul Islam Al-Islam Islamqa Multaqa Ahlul Hadis Toriqut Taubah Zadul Ma'ad Mausu'ah Al-I'jaz Al-Ilmi Nidaul Iman Lahaonline Sahab.net Al-Sunnah.com Al-Sunnah.com

PORTAL PILIHAN

AKSESORI

Facebook BOX.NET Youtube Imageshack Babylon translation Merriam Webster Online Kamus Online Bahasa Arab Online Dictionary: English-Malay Ujia Kecepatan Menaip Mediafire Rapidshare 4Shared Ziddu Slide Filehippo 2Shared 2Shared PDFChaser MIXPOD Al-Ma'ani EVERNOTE BOX.NET Photobucket Photobucket Photobucket Unit Coverter

Rujukan

Khutbah Jumuat: Pendusta-pendusta yang mengaku nabi.

October 30, 2009

Pada hari ini, aku menyampaikan khutbah jumaat di masjid Jannatun Na'im, Sri Taman, Sandakan. Tajuk khutbah keluaran Jakim  adalah bertajuk Ajaran Sesat. Aku menyampaikan tajuk "Pendusta-pendusta yang mengaku nabi", satu tajuk yang aku modifiy daripada khutbah keluaran Jakim.

Khutbahku tersebut boleh dicapai di sini: Khutbah hari ini

Selesai solat ba'diah Jumaat, seorang pemuda datang kepadaku dan bertanya tentang satu ajaran sesat yang telah aku sebutkan ketika menyampaikan 56 ajaran sesat yang telah diwartakan pihak Jakim. Ajaran itu adalah Ajaran Mohd Seman Al-Banjari. Menurutnya, dia rasa terkejut dan keliru kerana dia sedang berjinak-jinak dengan ajaran tersebut.

Pemuda itu, baru masuk Islam. Dulunya dia beragama kristian.Dia berkahwin dengan seorang perempuan Islam dan keluarga isterinya tinggal di Kota Kinabalu. IDia selalu ke rumah mertuanya dan di sana dia kerap dibawa hadir ke majlis ajaran tersebut oleh bapa mentuanya. Menurutnya, bapa mentuanya adalah pengikut utama ajaran tersebut.

Ketika aku minta dia menerangkan ciri-ciri ajaran tersebut, dia menyebutkan tentang zikir yang diamalkan sangat berat dan dia belum mampu menunaikannya. Pada satu tahap, murid-murid akan duduk atas kain putih bagi berbai'ah kepada gurunya. Pemuda itu, katanya belum ke tahap itu. Katanya, gurunya mendakwa pernah naik sehingga langit ketujuh. Pengikut ajaran itu memakai pakaian yang berbeza warna mengikut hari tertentu. Mengenai solat lima waktu, katanya sejauh pemerhatiannya, gurunya tidaklah mendirikan solat lima waktu. Dia cuma solat pada hari tertentu sahaja. Katanya, hari khamis sahaja.

Mendengar penjelasan ringkasnya mengenai ajaran tersebut, aku memperkuatkan lagi dakwaan kesesatan ajaran tersebut. Aku nasihatkannya agar meninggalkannya. Amat sayang sekali kalau dia masuk islam akan tetapi menemui Islam yang yang disesatkan. Aku ceritakan kepadanya bahawa Islam ini umpama pokok machang.

Aku memberikannya nombor  talifonku sebagai rujukan perbincangan jika diperlukan. Mudahannya dia tidak hanyut jauh dalam ajaran seumpama itu.

Pihak berkuasa perlu mengambil langkah tegas menghalang ajaran tersebut yang dikatakan sedang melebarkan pengaruhnya di bumi  bawah bayu melalui  kawasan pantai barat. Pemuda itu adalah mangsa kepada dajal sesat penyebar ajaran yang ditempelkan kepada Islam. Entah berapa ramai lagi mangsanya, tidaklah aku tahu. Apa yang jelas, ajaran sesat suka memilih negeri Sabah buat melebar pengaruh.

Liut Lalang

October 29, 2009

"Hanya pejuang yang lahir daripada tarbiah yang benar yang boleh dipercayai..."

Pada hari itu, dia bercakap tentang perjuangan. Jemarinya digenggam dalam penumbuk yang menjulang ke udara. Suaranya penuh semangat, penuh wibawa. Berpatah arang berkerat rotan. Membujur lalu melintang patah. Biar putih tulang jangan putih mata. Biar mati bergalang tanah,  namun perjuangan diteruskan jua. Seribu satu kata semangat membakar jiwa keluar bergema depan ribuan khalayak. Sungguh mempersona sekalian rakyat marhaen .

Baru kemarin dia berkata begitu. Tapi hari ini kenapa boleh berubah laku?

"Saya telah sedar...selama ini saya tertipu...", demikian antara beberapa jawapan mudah, escapisme dan naif sekali.

Mengapa hari ini baru sedar? Kenapa tidak kemarin? Mengapa tidak dari dulu? Mengapa setelah terasak ke tepian dinding, baru mengatakan "kini aku sedar"?


Rakyat sedang memerhati gelagat sesetengah pemimpin yang diberikan amanah lalu mengkhianati amanah yang diberikan. Ada yang dulu berpidato penuh emosi membawa semangat juang. Ada yang berjuang dengan perjuangan suci membanteras rasuah, tapi kini lunak bercakap basa basi. Apa hendak dikatakan kepada 3 luncai yang telah menyebabkan robohnya  kerajaan  Pakatan di negeri Perak? Ada pemimpin yang semangat melayu sampai ke awan, dulu bercakap sopan santun dengan tok guru, kini menjulang keakuan dan ketidakpedulisme.Beberapa pemimpin komponen Pakatan Rakyat membuat kejutan mengisytiharkan diri meletakkan jawatan itu dan ini. Terbaru, seorang lagi ADUN Pakatan di Kelang istihar keluar parti.

Dulu, masa rimba tebal di sini, tiada lalang yang tumbuh. Kini setelah rimba menjadi huma, jagung sedang ditanam, lalang tumbuh di sana sini. Lalang-lalang yang disangka padi bukit sering meliut ditiup angin.


Kain pelikat pula berdiri!

October 28, 2009

Aku rasa macam nak ketawa besar bila dengar berita radio klasik dalam keretaku sewaktu memandu pulang sekolah jam 1.30 petang ini. Satu kejadian yang lebih pelik daripada sejadah berdiri dilaporkan berlaku di Yan, Kedah. Kejadian itu ialah 'kain pelikat berdiri'. Lelaki yang menanggalkan kain pelikatnya di dalam bilik dan meninggalkannya ke bilik mandi terkejut apabila kembali dan mendapati kain pelikatnya tidak berada dalam keadaan sebagaimana beliau tinggalkan. Malah, ia kelihatan berdiri.  Beliau meminta pejabat agama menjelaskan perkara tersebut.

Inilah rentetan lawak jenaka sejadah berdiri yang dihebohkan baru-baru ini. Sekarang sudah mula berdiri benda-benda lain selain sejadah. Kain pelikat sudah dilaporkan berdiri. Lepas ini,kain batik,  seluar, baju, cadar katil, tikar dan macam-macam lagi mungkin akan berdiri. Silap-silap, ada pula berita seluar dalam berdiri!

Huah!Sekali fikir memang lucu. Dua kali fikir rasa malu. Fikir berkali-kali, tak timbul pun rasa pelik dan ajaib. Sungguh hairan mengapa berita mainan sebegini dipercayai. Kalau tak percaya tentu tidak akan diberitakan dalam TV dan radio.

Masyarakatku...bangsaku...dulu nenek moyang kita terbelit dalam tahayyul yang akarnya adalah percaya keajaiban benda dan alam. Kini, setelah zaman beralih, akar kepercayaan kepada keajaiban tersebut yang menerbitkan tahayyul nenek moyang masih menjangkiti anak cucu dalam bentuk baru. Percaya benda ajaib dalam masyarakat Melayu adalah sifat kental yang bukan mudah disingkirkan.

Masih ada orang melayu percaya keris boleh berdiri sendiri dan mengatakan itu adalah kekuatan sesebuah keris. Masih ada orang Melayu percaya kayu tas punya kejaiban yang boleh menakutkan ular, kala dan semua binatang berbisa. Masih ada orang melayu admire kepada kayu koka dan meyakini keajaibannya. Kalau dulu nenek moyang percaya keajaiban benda-benda itu dengan disandarkan kepada semangat, penunggu dan sebagainya, kini anak cucu yang sudah diajarkan akidah Islam bersantun dengan mengatakan bahawa keajaiban itu adalah kerana Allah menjadi kekuatan pada benda-benda tertentu di alam ini. Apapun sandaran, nenek moyang mahupun anak cucu masih terbelenggu dalam kepercayaan kepada benda ajaib dan pelik.

Bukan aku menafikan adanya perkara khawariqul adah dan mendewakan pembuktian saintifik pada semua perkara. Tetapi, percaya benda ajaib dan pelik dalam masyarakat Melayu adalah keterlaluan dan mematikan fungsi akal!

Wahai pemimpinku

Tarbiah merupakan tiang kepada perjuangan Islam. Perjuangan tanpa tarbiah akan melahirkan pendokong-pendokong perjuangan yang putik dan separuh masak yang tidak tahan diuji mahupun tawaran duniawi.Tentunya kita tidak mahu orang yang kita kenali sebagi pejuang-pejuang Islam berpatah arah dan meninggalkan perjuangan. Kita telah saksikan bagaimana manusia yang tidak punya tarbiah berbuat khianat kepada rakan seperjuangan sehingga runtuhnya sebuah kerajaan di negeri Perak yang baru dibina.Peristiwa itu benar-benar penting diambil iktibar bahawa menjaga sebuah kemenangan memerlukan tarbiah mantap buat pendokong perjuangan.

Buat pemimpin-pemimpin kami yang sedang terbang dengan sayap kasuari, ayuhlah hinggaplah di dahan-dahan tepian padang, paya, sungai dan segenap rimba lalu nyanyikan lagu tarbiah buat genarasi baru yang sedang bangkit menggalas kelangsungan perjuangan.Tinggalkan persengketaan, perdebatan, dan perlumbaan mencari pengaruh serta semua maksud sepele yang tidak menguntungkan perjuangan. Melatalah ke segenap bumi dalam setiap kesempatan dan kemampuan untuk menyemai tarbiah di kalangan pengikut sebuah perjuangan walau sekadar membaca "Ma'thurat".


Ust Abd Ghani Syamsuddin, pemimpin gerakan dari pusat yang turun melebar tarbiah di Kundasang baru-baru ini.

Aku suka sekali kalau kita jangan terlalu mengharapkan untuk berceramah di rapat umum yang menghimpunkan massa yang ramai. Usah menunggu majlis ceramah sempena hi-tea di hotel-hotel terkemuka. Atau saat gempur pilihanraya. Kepada pemimpin-pemimpin kami, datanglah ke secerok rantau negara di mana pengikutmu sedang duduk berqiamullail di masjid, berkhemah dalam tamrin di tepian sungai atau berusrah di pejabat usang berdinding papan berlubang.Datanglah walau sekadar membaca doa rabithoh. Tarbiah tidak memerlukan kebijakan berpidato. Tarbiah tidak memerlukan lidah yang pasih berbahasa bombastik,melankolik atau poematic. Tarbiah memerlukan perkataan yang lemah lembut, kelakuan rendah diri dan hati yang ikhlas.

Sumber kekuatan kita adalah tarbiah. Kebersamaan kita dalam Pakatan adalah strategi. Ia bukan sumber kekuatan kita. Strategi boleh berubah-ubah mengikut keputusan bersama. Namun, tarbiah adalah tuntutan. Tarbiah adalah sunnah yang jika tiada ia, tidaklah dinamakan perjuangan Islam.

Wahai angin yang bertiup tengkujuh.Puputlah membayu membawa dingin tarbiah. Wahai mentari panas terik yang membara, pancarlah sinar duha tarbiah yang menyegarkan. Wahai ombak yang berdebur, bawalah segala pepasir, binalah pantai lebar pentarbiahan.

Kami semut melata...ingin jalan berderetan mengangkat segala hasil mahsul pejuangan ke dalam busut jemaah. Kami ingin melihat busut menjadi pongsu. Kami ingin melihat pongsu menjadi bukit. Kami ingin melihat bukit menjadi gunung. Biar gunung mencakar awan. Kami letih bercakaran.  Musuh kami kuat dengan segala kelengkapan. Tenaga kami cukup-cukup untuk menghadapi mereka. Tenaga kami tidak akan mampu menghadapi walau sekelumit beban percakaran dalaman. Kami ingin pejam mata dan berpura-pura tidak minat tentang apa yang dipertikaikan. Walau memang sulit mengabaikan.

Lalu...aku membisikkan buat menstabilkan gejolak sebuah perjuangan...


قُلْ إِنَّ صَلاَتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Pemimpin boleh seribu, tetapi perjuangan tetap satu.

Bukan senang menegakkan hukum syariah

October 27, 2009





Dewasa ini, dikatakan jumlah umat Islam telah menjangkau 1/4 daripada penduduk dunia. Tentunya melihat kepada kadar ini, kita sebagai orang Islam merasa bangga kerana ramainya ummat Islam. Kalau boleh, kita mahu semua penduduk dunia ini masuk Islam.

Tetapi...ramainya umat Islam seperti banyaknya buih. Kerana cintakan dunia dan takutkan mati, ummat Islam di mana-mana jadi umat yang lemah. Rakyat lemah dan tertindas, manakala penguasanya zalim dan lupa diri. Golongan ulama berdiam diri, para cendikia mengalami krisis fikiran, para usahawan menjadi Qarun, karyawan lebih banyak mengungkap bait-bait ghazal, soldadunya takut mati, binatang ternakan banyak menjadi bangkai yang dimakan, dalam tak sedar makanan bercampur lemak babi, wanita muslimah hilang rasa malu, ibu bapa tak mampu lagi mendidik anak-anak dan ramai sekali muncul kalangan yang bergelumang nifaq dalam hatinya yang namanya sekularis, feminis, nasionalis, leberalis dan yang mendokong pelbagai isme ciptaan akal manusia yang asasnya adalah mencabar jalan hidup (ad-din) yang telah diwasiatkan Allah kepada para nabi-nabinya.


Isu Kartika yang dihukum sebat 6 kali atas kesalahan minum arak telah menimbulkan rasa tak senang golongan yang ada penyakit dalam hati mereka. Bukan kerana kesalahan sebat itu yang mereka tidak puas hati kerana selama ini hukuman sebat yang dijalankan ke atas kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan tidak pernah mereka pertikaikan. Mereka mempertikaikan hukuman sebat ke atas Kartika kerana ia dikaitkan dengan kesalahan jenayah menurut Islam. Mereka tidak suka hukum jenayah Islam.

Apa yang boleh kita katakan kepada orang seperti selain kita katakan dalam hati mereka ada penyakit? Penyakit benci kepada Islam sebagai dusturulhayat dan hanya menerima sebagai sebuah persatuan kekitaan atas ritual-ritual yang dipulangkan kepada individu.


Telah banyak kita mendengar ulasan, komen reaksi dan ucapan-ucapan dari sesetengah pemimpin negara kita mengenai perlaksanaan hukum syariah.  Ada yang memberi komen yang bernada menghina dengan mengatakan hukum syariah sebagai kolot, ketinggalan zaman dan bakal memundurkan negara. Kononnya, mereka ini mengatakan  bahawa jika hukum potong tangan bagi pencuri dijalankan, akan ramailah orang yang betangan kudung berjalan dalam bandar. Jadi satu kerja pula kerajaan kena membantu golongan hilang upaya ini. Kononnya, jika hukuman rejam atas penzina muhson, akan kuranglah batu-batu jalan dan terganggulah projek pembinaan jalan-jalan perhubungan yang menjadi keperluan rakyat.


Oh...negara manakah itu yang begitu banyak sekali pencurinya. Negara manakah itu yang begitu banyak sekali batu rejam yang diperlukan buat merejam penzina muhson yang tak terbilang jumlahnya?


Berita TV3 malam ini menimbulkan soal perlaksanaan undang-undang syariah dalam kategori menjaga moral rakyat dalam berpakaian secara Islam. Para muslimah dilarang memamaki seluar jins ketat, manakala lelaki dilarang memakai seluar pendek. Hukuman bagi kesalahan berpakaian yang tidak menepati kehendak syariah telah dinyatakan. Ia merupakan ta'zir.


Acheh telah melaksanakan undang-undang Syariah yang sederhana sejak tahun 2001 sebagai sebahagian daripada pakej autonomi yang diberikan oleh kerajaan pusat di Jakarta dalam usaha memadamkan sentimen tuntutan kemerdekaan yang menimbulkan masalah sekeliah lama di Acheh.


 


Namun, usaha menetapkan dan melaksanakan undang-undang Syariah di Acheh bukanlah melalui jalan mudah. Ia mendapat batahan daripada pelbagai golongan yang mewarnai sebuah negara Indonesia.Aktivis Hak Asasi Indonesia misalnya mengutuk undang-undang rejam ke atas penzina muhson yang dilaksanakan di Acheh dan menyifatkannya 'kejam dan merendahkan martabat'





Gabenor Acheh sendiri, Irwandy Yusuf yang merupakan bekas pejuang GAM turut menentang perlaksanaan undang-undang Syariah. Beliau menggesa agar kelulusannya ditangguhkan.

Melihat suasana di Acheh yang sedang membangunkan dan mengaplikasikan undang-undang Syariah dalam kehidupan rakyatnya sedang berdepan dengan penentangan dari dalam dan luar negara, kita merasakan jalan menegakkan Syariah Islam di Malaysia akan berdepan dengan jalan yang lebih sukar. Ia merupakan perjuangan berliku, penuh pencak seni dan amat mengharapkan nusrah daripada Allah SWT. 

Perjuangan ini telah didominasi oleh PAS sejak sekian lama. Keinginan untuk melaksanakan undang-undang Syariah seperti tidak termaktub dalam fikiran pemimpin UMNO. Apatah lagi ia tidak termaktub dalam perlembagaan parti yang memerintah negara itu.Kedapatan suara-suara daripada beberapa individu bebas tak berjemaah dan beberapa pertubuhan tidak berpolitik pilihanraya agar undang-undang Syariah ditegakkan di Malaysia. Namun, suara-suara itu cuma tenggelam dalam ketidakpedulian penguasa yang mempertahankan undang-undang penjajah dan merendahkan undang-undang Syariah.

Biar betapa sukar, perjuangan menegakkan undang-undang Syariah perlu diteruskan. Setiap orang yang mengaku sebagai beriman dengan Al-Quran memikul amanah ini. Sesiapa yang mengakui beriman dengan Al-Quran tetapi tidak mahu menegakkan isi kandungannya, dia sedang bergelimang dalam kumbahan nifaq yang merosakkan iman. Kelak, di akhirat masing-masing akan mandapat balasan sesuai dengan apa yang dibuatnya di dunia.

Air kelapa muda

October 26, 2009


Ketika aku menghubungi ibu, memberitahu tentang rasa sakit dalam dadaku gara-gara berlebihan makan durian, ibuku mengesyorkan aku minum air kelapa muda. Cadangan ibu segera mengingatkan aku peranan air kelapa muda dalam menawarkan pelbagai racun dalam tubuh. Kemampuan air kelapa muda dalam menawar racun sudah menjadi kepercayaan masyarakat melayu, khususnya yang tinggal di kampung-kampung. Hebatnya penangan kelapa muda, makanya pada satu waktu dahulu, seorang menteri pertanian melancarkan kempen minum air kelapa muda.

Sejak pagi sehingga tengahari, aku cukup sesak dada. Nafas tak dapat ditarikh sepenuhnya. Rasa sakit mencucuk dalam  ngilu dalam perut. Aku minta izin daripada PK Kanan sekolahklu untuk istirehat daripada mengajar.

Aku singgah di gerai buah-buahan di pinggir Pasaraya Cheong Leong yang terletak di pinggir kejirananan Taman Fajar. Harga kelapa muda sekarang ini adalah RM2.00. Aku beli sebiji dan membawa pulang. Minum airnya dan tidur.

Sungguh berkesan. Satu jam kemudian aku sedar dan tiada lagi rasa sakit dan sesak nafas sebelumnya.

Siapa yang mengalami pengalaman sepertiku, bolehlah ambil iktibar ini. Minumlah air kelapa muda. Mungkin penyakit-penyakit lain yang berkaitan dengan keracunan, toksid, sesak nafas juga boleh menemui penyelesaian yang sama. Penyakit lelah yang menjadi masalah kepada ramai orang juga boleh diubati dengan air kelapa muda.

Isteriku dulu seorang pengidap lelah yang kronik. Seorang pengamal perubatan alternatif telah mengubatnya. Aku menyaksikan bagaimana cara mengubatnya.

Ambil sebiji kelapa muda dan sebiji kelapa tua yang telah tumbuh tunas pokok kelapa sekitar sejengkal. Kupas kulit kelapa tua itu dan jangan rosakkan mana-mana bahagian akar tunas pokok kepala yang baru tumbuh itu. Dapatkan  tunas pokok kelapa itu keseluruhannya setelah diceraikan dari tembung di bahagian dalamnya. Tuhas itu dipotong buang pucuknya. Tumbuk tunas itu dan boleh juga diblander sahaja. Campur dengan air kelapa muda. Sebelum minum jampilah sikit. Bacalah ayat-ayat syifa. Mudah-mudahan sembuh. Isteriku telah sembuh dengan cara itu.

Allah yang berkuasa tetapi bagi setiap sesuatu ada sebab.Allah mempertegaskan hal ini melalui kisah Zulqarnain yang diberikan kerajaan yang luas. Pencapaian Zulqarnain itu bukanlah secara kebetulan atau datang melayang bersimpuh di depannya. Tetapi ia dicapai setelah menempuh pelbagai sebab yang membawanya kepada kekuasaan tersebut.


وَآتَيْنَاهُ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ سَبَبًا
Sesungguhnya kami Telah memberi kekuasaan kepadanya di (muka) bumi, dan kami Telah memberikan kepadanya jalan (untuk mencapai) segala sesuatu.
(Surah Al-Kahfi: Ayat 84)



Petang ini aku benar-benar rasa lega. Dengan sebab minum air kelapa muda, aku tidak sakit dada lagi.

Aduh!sakitnya dada...

Subuh ini, aku gagahi bangun. Aku gagahi juga ke  surau. Dadaku terasa sakit sekali. Setiap kali kutarik nafas, seperti ada yang menghimpit dalam dadaku. Aku hanya mampu tarik nafas perlahan-lahandan sedikit. Jarang aku mendapat rasa sakit sebegini. Barangkali belum pernah. Pada perkiraanku, ini tentu gara-gara makan durian. Aku sememangnya tidak boleh makan durian dalam kuantiti yang banyak. Sebelum ini, jika aku makan durian, paling tidak aku rasa sakit segala urat pinggang dan perut betis. Agaknya aku alergic dengan durian.


Bukan aku tak pernah makan durian. Di kampungku, keluargaku memiliki dusun durian. Dahulu, ketika aku masih kecil, aku cukup puas makan durian. Entah kenapa semenjak sekitar lima tahun ke belakang ini, jasmaniku seperti sudah tidak mesra lagi dengan durian. Kalau makan lebih sikit, akan datanglah persengketaan. Dalam hal ini, jasmanilah yang menanggung sengsara.

Dalam diam, aku teringat tentang mati. Bagaimana kalau aku mati dengan sebab durian? Sebab makan durian. Makan durian lalu sakit segala urat-urat dalam badan. Makan durian lalu berlaku pengembangan beberapa anggata dalam dada dan perut. Mungkin respons daripada toksid dalam durian. Mungkinkah durian mempunyai toksid-toksid yang membahayakan tubuh? Kalau dalam durian tiada toksid, mungkin dalam tubuh sudah ada toksid yang menjadi aktif dan bertindakbalas dengan durian.

Teringat beebrapa sahabat yang diberitakan telah meninggal dalam usia muda. Ada yang dijemput mati tanpa disangka.  Ketika seronak membina kerjaya, mati menyambar. Ketika seronok merancang hari tua, beli  rumah, membuat pelaburan dan merancang hidup sesudah pencen, tiba-tiba mati menyambar laksana halalintar di rembang hari.


موت الفجأة أخذة أسف
"Kematian mengejut itu satu cabutan yang mensesalkan"
(Sunan Abu Daud)

Aduh...sakit sekali dadaku. Kutarik nafas...terasa tak puas.

Jaulah Kundasang

October 25, 2009

Aku baru sampai dari Kundasang. Sebuah Konvensyen IT telah diadakan di sana. Ramai sahabat seluruh Sabah menyertai program ini. TM Resort  telah dijadikan tempat berprogram.Konvensyen kali ini berkisar mengenai tiga perkara iaitu internet, blogger dan kewartawanan. Walaupun program ini mengambil masa yang singkat, namun apa yang lebih penting daripada semua itu adalah pertemuan dan kebersamaan dalam satu program. Ia membina rasa ukhuwwah fillah dan rasa kekitaan dalam memantapkan manhaj perjuangan yang dipersetujui bersama.

Dunia IT perlu dikuasai oleh mereka yang terjun dalam dunia dakwah dan perjuangan. Zaman para ustaz merasa fobia kepada IT sudah berlalu dan tidak punya tempat lagi. Zaman orang anti kepada TV dan internet  dan menganggapnya haram sudah patut dijadikan sejarah yang dikesalkan. Para ustaz hendaklah menjadi orang yang paling hadapan dalam dunia IT yang dimanfaatkan untuk dakwah dan perjuangan demi mengangkat agama Allah.Demikian, setiap pemuda yang bertekad untuk bersama dengan dakwah dan perjuangan, perlu menguasai IT.

Aku salute dengan Ust Abd Ghani Syamsuddin, seorang yang boleh dikatakan veteran dan berusia, tetapi meletakkan IT sebagai agenda penting dalam dakwah dan perjuangan. Malah, dia memikul tugas melebarkan penmafaatan IT di kalangan pendokong perjuangan.

Perjalanan ke Kundasang adalah perjalanan penuh pengorbanan. Semua yang telah pergi ke sana telah berkorban wang ringgit dan masa hujung minggu masing-masing. Ada yang mengorbankan beberapa pilihan yang berdiri di depannya.

Di Ranau, pada tanggal 24-25 Oktober sedang berlangsung Pesta Durian. Khabarnya boleh makan durian percuma di sana. Namun, ketika aku singgah di sana, bukanlah durian percuma yang dijanjikan. Sesiapa yang hendak makan durian, hendaklah bayar RM10.00 dan boleh makan sepuas-puasnya. Itupun dalam jumlah yang telah dibuka kepada acara makan-makan tersebut. Jika tak kenyang, maknanya tiadalah dan kenalah beli tambah.



Di Kundasang pula, sedang berlangsung Pesta Kubis. Aku sangka pesta makan kubis. Rupanya ia sebuah acara kereta lasak yang menunjukkan kemahiran di jalan yang mencabar di tapak pesta itu. Aku tak sempat melihat acara tersebut kerana ketika aku sampai, semuanya telah selesai.

Apapun, malam itu sejuk sekali. Kundasang memang cuacanya sejuk sekali. Tak kira siang maupun malam.  Cuma malam bertambah sejuk. Aku kurang sihat kerana masih terasa demam. Sementelahan, semua peserta konvensyen yang lelaki tidur di Masjid Jamek.

Mujur aku ada menyimpan khemah yang sentiasa mengikutsertaku ke mana sahaja aku pergi. Aku pasang khemah di tepi masjid dan tidur dalam khemah. Tidaklah kesejukan sangat.

Sekarang musim durian. Dalam perjalanan pulang, singgah di Luanti, bersama sahabat-sahabat kami makan durian. Durian Luanti memang sedap. Luanti adalah sebuah kampung di daerah Ranau yang sentiasa aku ingat kerana di sanalah aku dan sahabat-sahabat pernah terlibat dalam Jambori Amal Kebangsaan beberapa tahun yang lalu. Masjid Luanti yang terpampang namanya sebagai "Masjid Al-Amal" adalah bukti lukisan tangan mereka yang pernah datang dari seluruh Malaysia menjayakan program tersebut.

Semoga perjalanan hujung minggu yang telah kutempuhi memberikan aku iktibar dan kekuatan. Semoga ia sebuah jaulah yang mendapat perhatian ahli langit....amin.

Menggemparkan....sejadah berdiri...minta susu

October 21, 2009


Menggemparkan...sejadah berdiri minta susu botol!

Kejadian ini berlaku di Taman Fajar di sebuah rumah yang tidak perlu dinyatakan identitinya agar tidak menimbulkan kegemparan kepada masyarakat setempat. Sejadah yang selama ini digunakan sebagai alas solat, tiba-tiba dilihat berdiri di hadapan botol susu. Melihat kepada gaya sejadah ini, adalah dianggarkan umurnya sekitar setahun atau 2 tahun kerana masih berminat kepada botol susu.

Adalah dipercayai bahawa dengan kejadian terbaru ini, ia adalah lebih pelik berbanding kejadian-kejadian sebelumnya. Besar kemungkinan akan banyak lagi sejadah berdiri selepas ini. Berdiri solat. Berdiri minta susu. Berdiri menari. Mungkin akan ada berdiri menari shuffle yang menjadi kegilaan anak muda hari ini.

Samada berdiri sendiri atau didirikan...siapa yang tahu?



Komentar Isu:

Sebelum ini, diberitakan berlaku kejadian sejadah berdiri di Permatang Pauh, Pulau Pinang. Media massa melaporkan dan orang ramai, terutama yang berdekatan berduyun-duyun pergi menyaksikan perkara yang dikatakan pelik bin ajaib tersebut.  Terbaru, media massa melaporkan lagi. 35 Sejadah berdiri serentak. kali ini di Pasir Mas Kelantan. 35 Sejadah tersebut dikatakan berdiri dalam bentuk seperti saf solat. Kali ini, masuk berita jam 8 TV3. Dua tiga malam isu itu diperkatakan. Pejabat agama turun tangan. Mufti beri komen. Ada yang kata ia adalah tanda kebesaran Allah kerana sejadah pun berdiri dan untuk solat.

Photobucket

Sebahagian dari 35 sejadah yang dikatakan bediri di Pasir Mas Kelantan.


Aku teringat zaman aku kecil dahulu. Banyak kejadian pelik dihebahkan. Sekali peristiwa, gempar orang mengatakan ada rambut dalam Quran. Ketika itu ramai yang membelek Quran di rumah, mencari-cari rambut. Habis Quran lama dibelek. Bukan dibaca, tapi cari rambut. Kewujudan rambut dalam Quran adalah satu yang ajaib di mata masyarakat.

Tanda Qiamat!kata sesetengah orang menambahkan lagi debar dan suspens di kalangan masyarakat.

Kemudian, sekali peristiwa, gempar pula berita mengatakan ada helaian mushaf yang terpadam. Macam-macam teori yang terbit.Tapi...untuk menambahkan debar dan suspens masyarakat, kejadian itu pun dilebelkan sebagai tanda Qiamat. Hebohnya isu itu, akhirnya padam juga. Kemudian senyap dan tidak timbul-timbul lagi.

Sehingga hari ini, banyak sudah perkara yang dipelikkan diketengahkan kepada masyarakat. Aku sudah tidak ingat berapa banyak. Pendeknya banyak sekali dan bermacam-macam pulak.

Tapi yang paling melucukan aku adalah pasal sejadah berdiri ini. Mulanya aku ingat sejadah berdiri betul-betul. Macam aku berdiri. Macam orang lain berdiri. Berdiri dalam keadaan luar biasa dan menakjubkan. Rupanya berdiri yang dibuat-buat, Sejadah dikeronyokkan lalu ditegakkan, ia pun dikatakan berdiri. Yang hairannya, saksi lokasi yang menonton kejadian itu mengatakan sejadah itu benar-benar berdiri dalam keadaan yang pelik.

Ini mainan budak-budak hinggusan.

Siapa yang mahu, ambil sejadah di rumah masing-masing. Anda boleh dirikan seratus malah seribu sekalipun. Kemudian panggil orang media suruh ambil gambar dan masuk akhbar. Biar semua orang tahu.  Lalu orang luar negara melihat kita dan mentertawakan kebodohan kita

Lebih baik jadi insan biasa...

"Ustaz...kalaulah saya ada ilmu terbang...", seorang murid mengeluh. Matanya tepejam membayangkan. Mungkin bayangan tentang dirinya di saat memiliki ilmu terbang. Barangkali membayangkan untuk menjadi superti Superman,watak khayalan Barat.

"Ustaz..kalau saya ada ilmu menghilangkan diri...tentu best,"murid yang lain mencelah.

"Saya mahu ilmu kebal",
"Saya mahu ilmu jurus...",
"Saya mahu ilmu pandang tembus...",

Murid-murid yang lain melahirkan impian masing-masing. Impian menjadi insan luar biasa yang ada kuasa ajaib.

Memiliki kuasa ajaib bukan sukar. Tetapi,apalah ertinya memiliki kuasa ajaib kalau hidup di dunia tidak dapat menongkat langit. Seperti kecantikan, apalah maknanya kalau akhirnya menjadi tua dan saat itu wajah yang cantik sirna berganti wajah kedut seribu. Ramai orang mempunyai kebolehan luar biasa daripada ilmu yang dipelajarinya semasa hayatnya. Semasa muda, dia terkenal sebagai gagah perkasa, pahlawan, ditikam tidak lut, ditembak tak tembus, boleh ghaib, boleh bergerak pantas dari satu tempat ke satu tempat yang jauh dan pelbagai kepandaian luar biasa lagi.

Di kampungku dahulu, konon cerita orang tua-tua dahulu, ada seorang lelaki megah yang gagah perkasa. Tetapi dia dibenci oleh orang kampung disebabkan angkaranya dan akibat sifat megah serta bangga diri dengan kegagahannya. Orang-orang kampung telah berpakat mengenakan satu muslihat kepadanya. Lelaki itu diperdaya untuk membantu orang kampung menyelesaikan penggalian sebuah perigi. Tanpa prasangka dan ditambah pula dengan beraninya disebabkan yakin kegagahannya tidak terkalahkan oleh sesiapa, lelaki tersebut turun ke dalam pergi itu untuk menggali perigi.  Waktu itulah orang-orang kampung menghumbankan dalam perigi segala macam batu, kayu dan tanah sehingga lelaki itu tak mampu menyelamatkan diri lagi. Menurut cerita, lelaki itu melompat untuk keluar dari perigi dan hampir-hampir dia dapat menggapai tebing atasnya. Tetapi orang-orang kampung memukulnya hingga jatuh dan di dalam perigi itu lelaki megah itu dibenamkan dan ditanamkan hidup-hidup. Kini perigi yang menjadi kuburnya itu boleh dilihat di sebuah bukit bernama Bukit Jarat.

Apalah ertinya kemegahan atas sebuah kegagahan kalau kesudahannya begitu!

Ada juga orang bercerita seorang lelaki lain di kampungku. Tok Janggut nama gelarannya. Dia hebat kerana tinggi ilmu persilatan dan mempunyai kemampuan menukarkan daun kayu menjadi duit. Dia juga pernah ditembak komunis tetapi tidak lut. Hanya baju yang koyak tetapi tidak terjejas. Kini, nama Tok Janggut tidak lagi disebut orang kampung. Jauh sekali memuji atau menyanjungnya. Tiada pun jasa Tok Janggut yang dikenangkan orang.

Apalah erti kehebatan kalau tidak memberi manfaat kepada orang lain dan kepada diri sesudah dunia ditinggalkan!

Ada pula seorang lelaki lain di kampungku. Dia hebat dalam bercanda dengan air. Kepandaiannya berenang sungguh luar biasa. Konon cerita yang diriwayatkan oleh orang-orang tua kampungku, dia mampu berenang sambil berdiri dan timbul separas pinggang sambil memikul beban di atas bahu. Pada satu ketika, banjir berlaku dan sawah bergenangan air bah. Dia dijumpai orang kampung mati terkapar di permatang sawah.

Apalah maknanya sebuah kehebatan kalau akhirnya mati dilahap kehebatan sendiri!

Kataku kepada murid-muridku hari ini....

"Alangkah baik kalau kita semua cuma menjadi insan biasa...insan yang jatuh, rebah,luka, berdarah dan penat serta berpeluh. Kalau ditembak tembus, kalau direndam lemas, kalau dibakar hangus,  kalau dicincang putus, kalau ditangkap terpenjara....",

Hidup dunia hanya sementara. Nabi Muhamamad pernah patah gigi dalam perang Uhud. Nabi terpaksa berjalan menempuh ranjau berbatu selama berhari-hari untuk berhijrah. Nabi terpaksa bersembunyi dalam gua Tsur mengelak ditangkap musuh. Nabi diracun Yahudi dan mendapat kesan keracunan itu.

Semulia-mulia insan seperti nabi Muhammad, dia tidak memiliki kuasa ajaib yang mengawal dirinya. Hanya kepada Allah dia berserah. Kenapa kita bercita-cita mendapat kelebihan yang nabi Muhammad sendiri tidak miliki?

Sesungguhnya, ilmu-ilmu yang membolehkan kita ghaib, kebal, menukar daun jadi duit, terbang diudara, jurus jarakjauh dan sebagainya, adalah cebisan-cebisan sihir yang boleh dipelajari. Muslim yang beriman kepada Allah tidak akan sekali-kali mencicipi najis ilmu sihir sekalipun ilmu sihir itu menggunakan agama, Al-Quran dan zikir sebagai mediumnya.

Racun reinkarnasi yang disebar

October 20, 2009


Hari ini, aku mengajar murid-muridku tentang hari pembalasan. Bahawa, sesudah kehidupan, kita akan mati dan kemudian kita akan bangkit dengan apa yang telah kita kerjakan untuk satu hari yang dinamakan Hari Pembalasan. Sesiapa yang berbuat baik semasa hidup di dunia, dia akan mendapat balasan yang baik pada hari tersebut. Sebaliknya, sesiapa yang berbuat jahat, mencalar angkara murka dalam dunia, dia akan mendapat balasan yang buruk pada hari tersebut.

Lalu, aku menceritakan bahawa tiada kelahiran semula di dunia ini untuk menerima balasan masa lalu. Kelahiran semula yang dipercayai dalam ajaran Hindu adalah satu kepercayaan yang tidak diterima oleh Islam. Penganut Hindu percaya bahawa adanya reinkarnasi. Seseorang yang telah melakukan kesalahan dalam kehidupannya akan mendapat balasan dalam kehidupan berikutnya.

Aku menceritakan kepada muridku kesesatan kepercayaan itu dan mengingatkan mereka tentang cerita yang sering mereka tonton sejak beberapa bulan yang lalu. Sebuah sinitron dari negara semberang bertajuk 'Si cantik dan Si Buruk Rupa". Cerita mengisahkan seorang lelaki buruk rupa yang bernama Kendil merupakan kelahiran semula seorang lelaki bangsawan bernama Arjuna. Kononnya Arjuna telah melakukan kesalahan dalam kelahiran lepas dan kerana itu dia mendapat kutukan lalu dilahirkan dalam rupa buruk si Kendil dalam kehidupan sekarang. Kutukan dalam rupa buruk itu akan dapat dihilangkan jika dia menemui cinta sejati.  Dalam cerita tersebut, seorang gadis bernama Tia telah jatuh cinta kepadanya. Ucapan  cinta Tia di malam bulan purnama berada pada kedudukan sempurna kepada Kendil akan menukarkan wajah Kendil kepada rupa Arjuna secara kekal.

Menonton cerita tersebut aku membuat beberapa rumusan:

1)Cerita itu mengandungi kekusutan kepercayaan.  Kepercayaan Islam dicampuradukkan dengan akidah Hinduism. Ibu si Kendil diperlihatkan watak sebagai ibu yang amat berserah dan berharap kepada Allah SWT. Sedangkan Arjuna pula mendapat bimbingan makhluk ghaib yang menceritakan perjalanan hidup yang terpaksa ditempuhi Arjuna demi melangsaikan hutang dosa masa lalunya. Nama Arjuna yang digunakan itu sendiri membawa mesej cedokan daripada ajaran Hindu. Arjuna adalah nama dewa kepercayaan penganut Hindu.

2) Sudah banyak juga aku tonton cerita-cerita dari semberang. Aku melihat ada kesan-kesan libralisme dalam unsur-unsur berkaitan akidah yang diterapkan dalam cerita-cerita seumpama itu. Aliran liberal dalam menganut satu-satu pegangan akidah nampaknya subur di bumi Indonesia. Pendirian liberal inilah tercerna melaui filem-filem yang diterbitkan. Liberalnya sinitron seumpama ini dalam memaparkan kepercayaan adalah lebih merbahaya dan lebih leberal berbanding filem "GUBRA" yang pernah menimbulkan kontrovesi di kalangan beberapa kalangan di Malaysia.  Sekurang-kurangnya liberal dalam"GUBRA" adalah persoalan hukum anjing yang diperselisihkan dan masalah sikap terhadap nilai akhlak. Sedangkan liberal dalam filem dan sinitron dari Semberang sudah menyentuh dimensi akidah.

3) Pihak bertanggungjawab mengenai kemasukan filem-filem luar ke dalam negara perlu menilai sesuatu filem yang hendak diterima dan ditayangkan kepada rakyat agar filem itu tidak membawa karut marut yang bersimpang siur.Lebih-lebih lagi karut marut tersebut bersangkutan persoalan akidah. Janganlah kerana filem itu datang dari negara jiran dan atas nama serantau dan mempunyai budaya yang hampir sama, kita terus menelan filem-filem mereka. Kita perlu sedar bahawa pengusaha-pengusaha perfileman di Indonesia bukan  mewakili mojoriti rakyat Indonesia.Barangkali mereka adalah sekelompok elit kristian, athies dan yang beragama secara liberal.



Memanjat Tajalli … Menggapai Takhalli…Melakar Tahalli...

October 18, 2009


Dunia ini penuh dengan kemelut yang tidak pernah habis. Aku telah hidup menjangkau lebih sepertiga abad.  Ramai kawan-kawanku telah mencapai dunia setakat yang mereka telah capai. Pencapaianku tak seberapa kalau hendak dibandingkan dengan mereka. Ada kalangan sahabat sepengajianku dahulu, kini telah menjawat jawatan tinggi dalam perkhidmatan kerajaan.  Tidak kurang juga yang berkerja sendiri dan berjaya dalam perniagaan. 
Mungkin ada juga yang masih mengais-mengais mencari keberuntungan nasib dalam dunia yang sementara ini.
Aku? Setakat ini sekadar seorang guru biasa. Aku bersyukur dan setakat ini merasa puas menjadi seorang pendidik. Lebih-lebih lagi pendidik yang diamanahkan untuk melebarkan sayap kefahaman agama di kalangan generasi baru negeri di bawah bayu. Aku tidak menaruh harapan tinggi tentang dunia ini. Aku tidak bercita-cita untuk menjadi seorang jutawan. Aku juga tidak bercita-cita untuk menjadi orang besar yang menjawat pos penting dalam pemerintahan. Aku bercukupan dengan kehidupan serba sederhana yang aku miliki sekarang.
Aku membayangkan hari tuaku. Aku ingin sekali mencari satu daerah terpencil buat menetap dan berkampung halaman. Aku membayangkan, alangkah indah sekiranya aku dapat bermastautin di perkampungan berkabus di kaki banjaran titiwangsa. Aku membayangkan flora dan fauna serta sungai dan bau hutan bakaran huma. Jauh dari kesibukan kota dan sengketa manusia, aku menghabiskan hujung usia dalam taqarrub kepada Tuhan dalam satu koloni pendalaman sunyi dan bahagia.
Itu Cuma impian. Aku tidak pasti ke mana Allah akan lontarkan aku. Apakah amanah dan beban khilafah yang akan Allah pikulkan buatku. Malah, apakah aku berkesempatan mencicipi usia tua dalam kehdupan singkat ini.
Justeru, hari ini, dalam usia muda yang diberikan Allah SWT, aku cuba memanjat gunung tajalli. Merasai kebesaran Tuhan dalam hidup dan kehinaan dunia, adalah satu perjuangan nurani yang bukan sedikit memerlukan mujahadah. Kenangkan firman Allah SWT:

تلك الدر الآخرة نجعلها للذين لا يريدون علوا في الأرض و لا فسادا و العاقبة للمتقين
Negeri akhirat itu, kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerusakan di (muka) bumi. dan kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang-orang yang bertakwa.
(Surah Al-Qashas: 83)

Tanpa merasakan kebesaran Allah, akan berkaratlah rasa cinta kepada rumah sendiri melebihi rumah Allah.  Akan bergelumanglah diri dalam cinta asmara dengan isteri melebihi cinta kepada perjuangan. Ketika azan dilaungkan, hati yang dipalit duniawi akan membisikkan, solatlah di rumah bersama isterimu. Ketika seruan perjuangan dikumandangkan, akan bersilih ganti alasan-alasan yang disandarkan.
Alangkah sukarnya memanjat gunung tajalli.
Di kemuncak gunung tajalli, akan merasai nikmat takhlli. Itulah kemanisan madu keimanan yang selama ini dituturkan di lidah tetapi jarang sekali dirasai dengan jiwa. Apalagi untuk dibuktikan dengan raga.
Bukan mudah mencicipi madu takhalli!
Bebahagialah mereka yang diberi nikmat mecicipinya. Mereka yang telah diberi nikmat takhalli akan terjun ke tengah masyarakat, menjadi contoh tauladan kepada ummat, sebagai qudwah yang akan berjalan di atas toriq nubuwwah. Mereka memperlihatkan keindahan tahalli, menjadi kekaguman buat orang yang menyaksi.

Bukan senang menyarungkan pakaian tahalli!
Wahai Tuhan…kurniakan kami tajalli…takhalli dan tahalli

Setelah Mentari Beradu-Ayyuhal Fursanun Nahar!

October 11, 2009

Buat yang berjuang mengangkat agama Allah agar menjadi yang tertinggi di antara semua millah, kenangkan pada saat kekalahan sebuah firman Allah SWT:


وَتِلْكَ الأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ


 "Dan demikianlah hari-hari yang kami silihgantikan (kemenengan dan kekalahan) di antara manusia".
(Surah Ali Imran: Ayat 140)

 Agar yang berjuang mengerti bahawa kemenangan bukan kerana kehebatan strategi dan kesungguhan bekerja semata-mata. Kunci adalah terletak pada iradat Allah SWT. Jika Allah menghendaki kemenangan bagi satu kaum dan kekalahan bagi kaum yang lain, siapa yang dapat menghalang kehendak Allah SWtT? Dia melakukan sekehendakNya. Setiap sesuatu yang Dia tentukan, ada hikmah yang tersendiri. Dialah Tuhan yang Maha Bijaksana dan manusia yang serba tidak tahu sering menginginkan sesuatu sedang Dia menginginkan sesuatu. Keinginan Dia yang mengatasi segala keinginan.

Yang telah berjuang, tidak ada istilah kekalahan. Orang beriman sentiasa menang. Menang dan kalah bukan mengikut tafsiran manusiawi tetapi menang dan kalah adalah berdasarkan ukuran Allah SWT. Seorang yang berperang dan terkorban dalam peperangan, dia telah meraih kemenangan terbesar buat dirinya. Mendapat syurga itulah fauzan 'azima.

Mendapat ganjaran pahala setelah berjuang dengan niat yang sejahtera, adalah kemenangan. Hanya orang yang beriman sahaja mengerti makna sebuah perjuangan. Oleh itu sesudah perjuangan mereka dikurniakan ganjaran pahala fi sabililah.

Bersabarlah menanti kemenangan yang dijanjikan. Perjuangan menjulang kebenaran akan menemui kesudahan cemerlang. Sabda Rasulullah SAW:



والله ! ليتمن هذا الأمر ، حتى يسير الراكب من صنعاء إلى حضر موت لا يخاف إلا الله ، أو الذئب على غنمه ، ولكنكم تستعجلون
Demi Allah, urusan ini akan sempurna (perjuangan Islam), sehingga seorang yang menunggang (tunggangannya) dari Hadhramaut sehingga San'a tidak takut sesuatu apapun selain Allah. atau tidak takut seringgala yang akan membaham ternakannya. Tetapi kamu gopoh gapah (untuk mecapai kemenangan).
(Kitab Manaqib: Riwayat Bukhari-No3342)


Jangan gundah, berlapang dada dan yakinilah bahawa Allah punya kebijakasanaan dalam mengatur urusanNya. Esok, berjalan dan berjuanglah terus kerana perjuangan tidak terhenti pada satu noktah yang dicipta oleh manusia.


Dedikasi buat almarhum bapa...


Seketika, saat menyelak lembaran nostalgia masa lalu, aku terkenang bapaku. Waktu aku kecilku, bapaku sering menghantarkan aku ke sekolah dengan basikal tuanya. Saban pagi, begitulah. Mengenang saat-saat itu, air mataku tergenang di kelopak. Dalam kesusahan hidup, bapaku bertekad kental menyekolahkan aku dan semua adik beradikku yang lapan orang. Hanya sebagai penoreh dan pesawah kecil, di samping ada membela beberapa ekor kerbau dan lembu, kami adik beradik disekolahkan. Dalam tatih rebah menempuh belukar kehidupan, bapaku  mahu agar kami berpelajaran dan memberi kebanggan kepadanya dalam pelajaran.

Di sebuah kampung yang ulu, sebelum kemajuan melebar sayap, aku dibesarkan. Tiada api elektrik, hanya bergantung kepada pelita minyak gas. Tiada air paip, hanya air perigi sebagai sumber minum dan bersuci. Hutan rimba dan belukar yang berkeridau margastua adalah latar sebuah kehidupan. Bapaku, menebang dan menebas belantara menjadi huma, untuk dijadikan kebun getah. Aku masih ingat, tangan kerdilku waktu kecil dan remaja melibas parang cangkuk ke batang-batang pokok sebesar lengan dan paha, membantu bapa, membina sebuah perhumaan, yang kelak menjadi kebun-kebun yang melatari sumber kehidupan kami sekeluarga.

Aku terkenang bapaku...


Saat air sungai surut di musim kemarau, bapa mengajakku mencari gondang. Bapaku mengajar aku menyelam dan meraba-raba mencari gondang di celah-celah batang kayu dan reba yang mendap di dasar sungai. Aku sering mendapat hasil yang tidak dapat menandingi bapaku. Gondang yang terkumpul, kami bawa pulang dan amat sedap dimasak goreng.

Pada musim banjir, bapaku telah siap dengan bubu yang dibuatnya dengan jalinan rotan atau bambu. Berumpan anak kongkiak atau kerengga, bapaku melukah di pinggiran sungai. Aku tidak berani turun ke sungai yang berarus deras berpusar, hanya menyaksi keberanian bapa menyelam dan berenang memasang bubu. Kekadang, razeki baik datang, ikan keli memenuhi bubu. Kenduri satu kampung bapa buatkan. Di batas-batas sawah yang melimpah air, bapa buatkan gelung-gelung dan sat diletakkan. Jika razeki baik, di pagi hari bapa bawa balik ikan puyu dan udang sawah. Ibu buat kering atau layur dalam daun palas.

Aku terkenang bapaku...

Saat aku meningkat dewasa, bapaku ajar menyapu sampah dan menghampar tikar di masjid. Aku dikenali sebagai anak seorang siak. Aku mendapat banyak faedah dari tadrib dan ta'dib bapa. Aku menghitung harapan dalam agama dan akademik bersama sampah sarap yang aku kuis dan saat membersihkan tahi ayam yang menunjuk durhaka mencemari lantai masjid. Aku menjadikan episod itu sebagai satu dalil buat membisikan kata-kata "jika kamu menolong Allah, Allah akan menolong kamu!". Kepada adik-adik remaja sekampung sesudahku, aku memberitahu mereka bahawa didikan masjid memberikan kita kejayaan.

Saat aku menggapai kaki di astar kartaksis, bapa menjual kerbaunya buat membayar yuran pengajian dan menghantarkan aku ke sana. Bapa hanya berselipar jepun dengan baju kemeja lusuh.Itulah kali pertama bapa menjejaki kaki ke ibu kota. Mengenang keadaan bapa waktu itu, aku sering terpekur sendu dan sebak.

Saat aku graduate dan tidak punya perkerjaan tetap, bapa tetap sabar. Bapa hanya mendengar, entah apa katanya dalam hati, sewaktu aku mengungkapkan idealisma perjuangan untuk menjadikan tanah datuk dipinggir masjid  kampung kami sebagai markas pengkaderan. Bapa tidak pernah mengeluh tentang pencapaianku dalam dunia. Tetapi, bapa amat perihatin tentang perjalanan akhiratku. Kendati, aku telah melewati umur 27 tahun, saat aku balik kampung, di kala azan subuh berkumandang, bapa akan megejutkan untuk solat subuh berjemaah di masjid.

Aku terkenang bapaku....

Pada saat aku terlempar jauh ke bumi Sabah, melanjutkan pelajaran dalam dunia pendidikan dalam kursus KPLI, aku tidak tahu bahawa itulah tahun terakhir bapaku di dunia ini. Aku sudah menyusun tekad untuk menghadiahkan bapaku sebuah kereta jenama klasik dutson sunny kepadanya. Ibuku pernah berkata bahawa bapaku tak berminat dengan kereta tetapi itulah cita-citaku.

Tetapi...penghujung tahun itu, tahun 2003, aku mendapat panggilan talifon dari kampung mengatakan bapaku meninggal dunia. Bapaku meninggal setelah demam biasa yang tidak dijangkan asbab sebuah kematian. Saat itu aku terkesima dan usahaku untuk pulang buat menatap bapaku kali terakhir tidak kesampaian kerana masalah jadual perjalanan tiket penerbangan yang tidak memungkinkan aku tiba pada waktunya. Aku pulang beberapa hari kemudian dan hanya melihat dua nisan yang terpacak di atas tanah yang masih merah. Aku membisikan buat diriku, agar menyingkir gundah, bahawa melihat kali terakhir bukanlah penting kerana selama ini aku telah pun melihatnya dan telah berusaha dan berbakti kepadanya.Orang sering mementingkan menatap kali terakhir tetapi lupa di awal dan pertengahannya.

Bapaku almarhum saat aku di perantauan. Biarpun aku belum puas memberikannya kesenangan dunia, aku gantikan dengan doaku buatnya saban usai solat dan kebaktian seorang anak dalam beragama yang menjadi saham buatnya di alam sana. Aku berusaha berbakti kepada ibuku yang ditinggalkannya kerana berbakti kepada ibu sudah tentu harapan bapa untukku.


-->
رب اغفر لي ولوالدي وارحمهما كم ربياني صغيرا

Kini, sudah 6 tahun bapaku berpulang menemui Rabnya. Aku sudah berkeluarga dan punya anak. Aku tidak menceritakan kepada anakku apa yang aku lakukan kepada bapaku. Apakah kebaktian yang aku telah abadikan dan harapan apakah yang telah aku panjatkan. Aku pulangkan kepada Tuhan yang mengamati perjalanan insan sepanjang zaman agar memberikan aku sesuai dengan bakti dan cinta kasih aku kepada orang tuaku.

Kepada Allah aku bertawakkal dan kepadaNya aku mengharap.


Wahai Tuhan..Mudahkan kami ke syurga!



Bandar Indah, Sandakan, antara kawasan yang meriah di malam hari terutama pada malam minggu. Di sana, beroperasinya kelab-kelab malam yang penuh dengan wanita-wanita kupu-kupu malam dan lelaki-lelaki pemburu hiburan bebas.Ketika aku melintasi lorong-lorong di bandar Indah, berkereta dengan anak isteriku, aku melihat di beberapa wanita berpakaian seksi berdiri dalam gelap samar di beberapa lokasi. Seperti menanti sesuatu. Pada fikiranku, mereka sedang menunggu pelanggan.

"Kadang-kadang abg ingin pergi kepada wanita itu...bersiul dan memanggilnya masuk kereta...menjalani kehidupan lelaki pemburu hiburan...tapi...", aku berujar kepada isteriku."abg takutkan Allah...", lanjutku. Aku cuba menghayati kata-kata itu.

Apakah aku mampu mengatakan:

"Aku takutkan Allah!"

Di saat ada wanita jelita,punya tubuh arca, menggoda sukma, mampukah aku menuturkan kalimah, "aku takutkan Allah!?

Lelaki yang mampu menjulang kata-kata tersebut di saat nafsu bahimiah cuba menakluknya, adalah lelaki yang disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW mengenai tujuh golongan yang diberikan perlindungan di hari mahsyar yang tiada perlindungan kecuali lindungan Allah:

رجل دعته امرأة ذات منصب وجمال فقال إنى اخاف الله 

"Lelaki yang digoda oleh wanita yang berkedudukan tinggi dan punya kecantikan, lalu dia berkata:"sesungguhnya aku takutkan Allah".



Akukah lelaki itu? Lelaki gagah yang teguh waqar dan mampu mengucapkan kalimah yang mahal itu. Wanita pelacur itu bukanlah wanita berkedudukan tinggi. Kalau wanita itu tidak mampu diucapkan kalimah itu, apalah kiranya kalau berdepan dengan wanita berkedudukan tinggi yang punya kejelitaan.


Setiap orang akan berbuat apa yang dipermudahkan baginya. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW diriwayatkan: 

قَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُعْرَفُ أَهْلُ الْجَنَّةِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ قَالَ نَعَمْ قَالَ فَلِمَ يَعْمَلُ الْعَامِلُونَ قَالَ ‏ ‏كُلٌّ يَعْمَلُ لِمَا خُلِقَ لَهُ أَوْ لِمَا يُسِّرَ لَهُ


" Berkata seorang lelaki kepada Rasulullah SAW: Apakah dapat dikenal ahli syurga dan ahli neraka?
Jawab Rasulullah SAW: Ya!.
Kata lelaki tersebut: Kalau begitu, apalah gunanya amal orang yang beramal?
Jawab baginda: Setiap orang akan beramal mengikut apa yang dijadikan baginya atau  mengikut apa yang dipermudahkan baginya.

(Saheh Bukhari dan Muslim)


Orang yang disukarkan Allah, amatlah payah hendak mendekati para pelacur itu. Apa lagi melanggannya. Dengan rahmat Allah juga dia disukarkan untuk berbuat begitu. Bersyukurlah jika anda disukarkan ke arah itu. Mungkin satu-satu waktu anda teringin sekali lalu menjalani jalan ke arah jalan tersebut. tetapi anda adalah orang yang disukarkan Allah. Anda rasa malu, takut-takut dan bimbang dilihat orang. 

Perasaan malu, takut dan bimbang sehingga anda pun tidak jadi  mendekati kehidupan lelaki pemburu hiburan itu, adalah tanda anda disukarkan Allah. Anda, insya Allah, ahli syurga.

Anda dipermudahkan untuk berbuat baik. Anda mudah sekali pergi ke surau, usrah, majlis ilmu, program-program jema'ah, itulah tanda anda dimudahkan ke arah kebaikan. Anda, Insya Allah, ahli syurga.


Semoga Tuhan mempermudahkan jalan kita ke syurga!