Firman Allah SWT:
Firman Allah SWT:
Posted by PERENUNG LANGIT at 12:55 AM 0 comments
Labels: Tafsir
"Berapa anakmu?", aku melontarkan pertanyaan kepada seorang sahabat yang sudah lama tidak bertemu."Lima...dua lelaki tiga perempuan...", jawabnya sambil tersenyum. Mungkin bangga. Harap bangga dalam syukur."Bertuahlah kamu, ada tiga anak perempuan...", balasku."Kenapa dengan tiga anak perempuan?",dia bertanya"Mereka boleh menjadi penyelamat kamu dari azab neraka....jika baik didikanmu", aku memberitahu.
Anak perempuan bukan pilihan sebahagian ibu bapa. Pada zaman jahiliyyah, anak perempuan ditanam hidup-hidup kerana anggapan bahawa anak perempuan membawa malang. Ibu bapa zaman jahiliyyah tidak gembira dengan lahirnya anak perempuan.
Ini digambarkan dalam Al-Quran sebagaimana firman Allah :
واذا بشر أحدهم بالأنثى ظل وجهه مسودا وهو كظيم , يتوارى من القوم من سوء ما بشر به أيمسكه على هون أم يدسه في التراب ألا ساء ما يحكمون
Dan apabila seseorang dari mereka diberi kabar dengan (kelahiran) anak perempuan, hitamlah (merah padamlah) mukanya, dan dia sangat marah.. Ia menyembunyikan dirinya dari orang banyak, disebabkan buruknya berita yang disampaikan kepadanya. apakah dia akan memeliharanya dengan menanggung kehinaan ataukah akan menguburkannya ke dalam tanah (hidup-hidup) ?. Ketahuilah, alangkah buruknya apa yang mereka tetapkan itu.
(Surah An-Nahlu: Ayat 58-59)
Walaupun zaman jahiliyyah dan segala tanggapan negatifnya terhadap anak perempuan itu telah lenyap, tidak dapat dinafikan bahawa masih ada ciri-ciri dan sisa-sisa mindset jahilliyah itu. Ini wujud dalam bentuk mengutamakan anak lelaki daripada anak perempuan dalam setiap harapan lahirnya orang baru.
Terdapat alasan-alasan yang sering dikemukakan mengapa anak lelaki menjadi pilihan sesetengah ibu bapa. Antaranya, anak lelaki dikatakan dapat membantu keluarga, membela kehormatan keluarga, mewarisi legasi keluarga dan tidak susah dipelihara. Orang tua-tua pernah membuat tamsilan bahawa membela lembu sekandang lebih mudah daripada memelihara seorang anak perempuan. Kata-kata sebegini lebih membawa konotasi negatif berbanding maksud positif.
Islam mengangkat darjat anak perempuan dan ini seharusnya menjadi renungan para ibu bapa dan bakal ibu bapa. Para pejuang emansipasi juga perlu merenung dan menginsafi penghargaan mulia yang diberikan oleh Islam kepada anak perempuan.
Sabda Rasulullah SAW:
من كان له ثلاث بنات فصبر عليهن وأطعمهن وسقاهن وكساهن من جدته كن له حجاباً من النار يوم القيامة
"Sesiapa yang mempunyai tiga orang anak perempuan, maka dia bersabar (membesar dan mendidik mereka), memberikan mereka makan, minum dan pakaian dengan bersungguh-sungguh, mereka akan menjadi pendinding baginya daripada neraka pada hari kiamat".
Hadis ini patut menjadi renungan para ibu bapa dan bakal ibu bapa. Kelahiran anak perempuan adalah satu hadiah berharga daripada Allah SWT kepada kita. Pujian terhadap ibubapa yang memberi komitmen dalam mendidik anak perempuan melibihi pujian pendidikan ke atas anak lelaki.
Jika kita telusuri sirah Rasulullah, baginda ada empat orang anak perempuan. Kempat-empat anak perempuannya dipanjangkan umurnya oleh Allah SWT hingga dewasa untuk menjadi contoh kepada ummat yang memelihara dan membesarkan anak perempuan. Keturunan dan legasi keluarga bukan sahaja boleh diteruskan oleh anak lelaki, sebaliknya anak perempuan juga. Keturunan Rasulullah yang menjadi rasa izzah dan kebanggan sesetengah pihak pada hari ini, adalah datang daripada puteri baginda yang bernama Fatimah.
Beruntunglah sesiapa yang ada anak perempuan lalu membesarkannya dan mentarbiahkannya dengan baik dan sempuna.
Posted by PERENUNG LANGIT at 3:27 PM 1 comments
Labels: Pendapat
Aku suka makan roti bun. Aku percaya ramai juga yang suka makan roti bun. Tapi, di tempat aku tinggal, kalau pergi ke pasaraya untuk mendapatkan roti bun ini, yang dijumpainya kebanyakkan tidak ada lebel halal. Roti kegemaran kucing gemuk ( Fat Cat) dan Novelty adalah antara roti yang melambak di pasaraya. Ada bebarapa pilihan yang boleh disyorkan untuk penggemar roti bun. Pertamanya roti keluaran Rufaqaa. Dulu memang namanya roti Rufaqa. Namun, setelah syarikat Rufaqaa berdepan dengan ancaman diharamkan kerana dikatakan jelmaan baru kepada Al-Arqam yang diharamkan kerajaan, namanya ditukar. Aku tak ingat berapa kali namanya ditukar. Aku ingat beberapa nama pada roti yang selalu aku beli di kedai roti Rufaqaa di Taman Airpot. Pernah nama Harmoni dipakai. Kini namanya Roti Ikhwan.
Kendatipun roti ini tiada lebel halal Jakim, masyarakat maklum bahawa pembuatannya oleh orang Islam.
"Banyak kali tukar nama roti ni...", soalku pada satu hari kepada seorang lelaki penjaga kaunter kedai roti tersebut.
"Biasalah...", balas lelaki tersebut. "Nama boleh ditukar biar seratus kali....ia bukan penting", lanjutnya.
Jawapan itu membuatkan aku terfikir satu perkara. Nama boleh ditukar. Memang nama Rufaqaa menghadapi ancaman pada satu ketika. Lalu nama produknya ditukar kepada nama lain agar survivalnya terpelihara.
Ada kalangan tertentu amat sensitif dengan nama. Seolah-olah nama adalah penentu segalanya.
Seorang pemuda memberitahuku bahawa PAS telah tersasar daripada landasannya kerana tidak lagi memperjuangkan negara Islam, sebaliknya memperjuangkan negara berkebajikan. Katanya, semata-mata hendak memikat rakan pakatan yang bukan Islam, nama negara Islam digugurkan dan digantikan dengan nama negara berkebajikan. Dia menghulurkan aku satu risalah yang menceritakan panjang lebar tentang asal usul nama negara kebajikan (welfare state) yang dikatakan cetusan barat.
Aku telah membaca risalah itu dan penghujahannya tidak menarik dan tidak praktikal. Aku mengambil sikap bahawa nama bukan perkara penting.
Allah bukan menilai nama seseorang atau sesuatu. Jika namanya Muhammad, tapi perangainya seperti Abu Lahab, apalah erti nama yang hebat itu. Demikian, jika namanya Abu Jahal, tetapi kalau wataknya mencontohi nabi Muhammad, tentu dia lebih baik daripada yang bernama Muhammad tadi.
Maka demikianlah, bukan nama yang perlu kita perjuangkan. Dalam dakwah, kita perlu bijaksana. Gunakanlah nama negara apa sekalipun, kalau isi kandungan idealisma pembentukan negara tersebut tidak lari daripada konsep negara Islam, ia tetap negara Islam.Kalau nama negara Islam itu menakutkan, guna nama yang tidak menakutkan.
Tak perlu pukul gendang.
Kami mahu negara Islam!
Kami mahu undang-undang hudud!
Kami menolak asabiyyah dan sekularism!
Kami hanya mahu negara khalifah!
Pemuda perjuangan perlu membuat anjakan. Dari tradisi memukul gendang kepada bergerak dan bekerja. Bergerak dan bekerja membangunkan Islam ibarat semut kongkiak membangunkan busut. Bergerak dan bekerja meruntuhkan jahiliyyah ibarat anai-anai meruntuhkan dinding dan tiang rumah tinggalan.
Cuba renungkan satu babak dalam perjanjian Hudaibiyyah.
Dalam hadis sahih diceritakan bahwawa Rasulullah memanggil Ali untuk menulis nas perjanjiaan, Baginda merencana kepada beliau dengan katanya: "Bismillah al-Rahman al-Rahim" Kata Suhail: "Ada pun lafaz al-Rahman itu kami tidak mengetahuinya, tapi tulis sahaja: "Bismika Allahumma". Baginda menyuruh Ali menulisnya, kemudian direncana lagi "Inilah apa yang persetujui oleh Muhammad Rasulullah" kata Suhail: Kalau kami percayakan kau sebagai Rasulullah pasti kami tidak menghalang kau atau memerangi kau, oleh itu tulis namamu Muhammad bin Abdullah sahaja. Kata Rasulullah: "Sesungguhnya daku ini Rasulullah, Pesuruh Allah walaupun kamu mendustaiku". Baginda pun menyuruh Ali menulis "Muhammmad bin Abdullah serta memadam lafaz "Rasulullah', tapi Ali enggan memadamnya maka Rasulullah memadamnya dengan tangannya sendiri, dengan itu selesailah pembentukan format perjanjian.
Bagi pengamat sirah ini, akan faham bahawa Rasulullah tidak mengutamakan nama. Baginda sanggup menggugurkan kalimah "Bismillahirrahmanirrahim", dan menggantikannya dengan "Bismikallahumma" kerana hanya kalimah itu yang diterima Suhail bin Amr. Baginda juga menerima bangkangan Suhail bin Amr agar tidak menggunakan gelaran Rasulullah di hujung namanya. Padahal, kalau Rasulullah mahu, baginda boleh bertegas tentang dua nama itu. Rasulullah bukan berada pada kondisi yang lemah pada ketika itu.
Kita menjunjung tinggi idealism perjuangan menegakkan daulah Islam. Tapi kita tidak harus dunggu dan membuta tuli dalam perjuangan. Kita tidak perlu menjadi jaguan yang menang sorak kampung tergadai. Kita bukan juga pragmatis yang rela mengorbankan prinsip.
Buat pemuda-pemuda yang punya semangat berkobar-kobar, memikul idealisma perjuangan, hendaklah bersifat murunah dalam beberapa hal. Persoalan nama bagi menggambarkan idea perjuangan yang disentuh dalam komentar ini, adalah salah satu yang menuntut murunah pada sikap dan tindakan.
Renungkan firman Allah dalam Al-Quran:
فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللّهِ لِنتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنتَ فَظّاً غَلِيظَ الْقَلْبِ لاَنفَضُّواْ مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللّهِ إِنَّ اللّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ
Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah Lembut terhadap mereka. sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Karena itu ma'afkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu[246]. Kemudian apabila kamu Telah membulatkan tekad, Maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.
Posted by PERENUNG LANGIT at 10:53 PM 0 comments
Labels: Pendapat
Asar tadi , aku duduk mendengar bayan yang disampaikan oleh seorang lelaki dari jema'ah Tabligh yang datang daripada Kelantan. Dia memulakan bayan lepas asar itu dengan menceritakan satu ibarat. Pokok machang. Itulah kisahnya tamsilannya.Katanya pokok machang banyak di Kelantan. Di satu jajahan di Kelantan, nama machang telah diambil menjadi namanya iaitu jajahan Machang.
Pokok machang sangat suka dihinggapi oleh burung cet-cet. Bila burung cet-cet berak di mana-mana dahan pokok machang, akan tumbuhlah sejenis pohon menumpang yang dipanggil dedalu. Dedalu memang hidup subur jika dibiarkan terus di mana-mana dahan pokok machang. Kalau tidak disingkirkan, dedalu itu akan merimbun Bila banyak sudah dedalu di pokok machang tersebut, orang yang tak kenal pokok machang akan kata daun pokok machang macam daun dedalu itulah. Tanggapan itu menyebabkan mereka merasakan pokok machang tidak ada apa istemewa, padahal pokok machang itu ada buahnya. Buahnya pula berbau harum sehingga timbul pepatah Melayu, bau-bau bacang bagi menggambarkan hubungan persaudaraan yang jauh.
Demikianlah Islam ini, kata karkun yang memberi bayan itu. Satu tamsil ibarat yang menarik. Para pendakwah yang membawa cerita-cerita santai begini adalah memikat. Pendengar suka mendengar kerana ia tamsil ibarat yang bekisar di sekeliling kehidupan mereka.
Islam yang suci dibawa oleh nabi, ditempelkan dengan kefahaman yang pelbagai. Sehingga seseorang yang inginkan Islam, apabila melihat sesuatu yang disandarkan kepada Islam, dan sesuatu itu menarik hatinya, dia pun kata, inilah Islam. Padahal ia bukan Islam.
Islam itu bukan apa-apa dan bukan sesiapa. Islam hanyalah apa yang dibawa oleh Rasulullah. Apa yang bukan datang daripada Rasulullah, ia bukan Islam, biar betapa cantik dan betapa indah sekalipun.
Orang yang mahu ikut Rasulullah dan berminat dalam bidang perniagaan, dia akan kata perniagaan cara Rasulullah itulah Islam. Bagi yang minat kepada poligami, dia akan poligami itulah Islam. Bagi yang minat berpakaian jubah atau serban, dia akan kata jubah dan serban itulah Islam. Demikianlah bila Islam mengikut selera yang menilainya.
Syukurlah kerana nabi Muhamamad meninggalkan dua bekalan penting yang tidak akan sesat selamanya selagi mana kita berpegang dengan keduanya, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Sabda Rasululah SAW:
"Aku tinggalkan pada kamu dua perkara, kamu tidak akan pernah sesat selamanya selama mana kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu Al-Quran dan sunnah Nabi".
Tamsilan lain yang selalu dipakai orang untuk menggambarkan kepelbagaian tasawwur mengenai Islam ialah 5 orang buta yang memberi maksud gajah. Yang pegang badan, kata gajah macam dinding. Yang pegang telinga, kata gajah macam kipas. Yang pegang kaki, kata gajah macam pokok. Yang pegang belalai, kata gajah macam ular. Yang pegang perut, kata gajah macam atap. Demikianlah orang mendefinisi Islam berdasarkan akal fikiran. Akal fikiran tak dapat menentukan kebenaran.
Apabila seseorang berkata sesuatu berdasarkan fikiran, dia mungkin salah. Jika dia membawa dalil al-Quran dan Hadis dan betul istidlalnya, maka benarlah dia.
Sebab itu, jangan terpesona dengan penampilan, perkataan, akhlak dan tingkah laku, karamah dan sebagainya. Jadikan al-Quran dan Hadis sebagai ukuran. Untuk menjadikan al-Quran dan Hadis sebagai ukuran, perlulah berilmu. Orang tak berilmu selalu sesat dan kekadang menyesatkan.
Isteriku memberitahuku bahawa seorang ustazah, semasa dia belajar dahulu memberitahu pelajarnya, bahawa seorang lelaki yang berkahwin lebih daripada satu tidak boleh diterima kesaksiannya. Alasannya, lelaki berpoligami adalah sering berdusta. Aku katakan kepada isteriku bahawa perkataan ustazah itu tak boleh dipakai kerana terbit dari akalnya. Apa dalilnya? Tiada! Lebih buruk lagi, dengan berkata begitu, dia seolah-olah mengatakan nabi, para sahabat dan semua mereka yang berpoligami itu pendusta.
Sesungguhnya Islam bukan Feqah. Islam bukan Teologi. Islam bukan Sufism. Islam bukan Wahabism. Islam bukan Syiah. Islam bukan Salafi. Islam bukan tariqat. Islam bukan liberalism. Islam bukan kaum tua atau kaum muda. Islam bukan Pas atau Umno. Islam bukan mana-mana firqah. Islam bukan semua yang didakwakan.
Islam adalah apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. Itu sahaja. Titik.
Posted by PERENUNG LANGIT at 9:21 PM 0 comments
Labels: Ulasan
Ketika aku membaca kisah seorang sultan dari kerajaan Mamalik di Mesir, bernama Al-Muzaffar Saifuddin Qutuz, aku sungguh terharu. Air mataku bergenang mengenangkan kisah sejarah yang sungguh membanggakan itu. Alangkah baiknya jika di saat umat dalam lelah lemas dipukul kekalahan demi kekalahan pada masa ini, seorang pemimpin sepertinya tampil memandu panji jihad buat umat.
Baginda yang bernama Qutuz atau dieja Kutuz, merupakan pemerintah ketiga daripada kerajaan Mamalik. Baginda menaiki tahta Mesir 24 Zulkaedah 657 H. Setengah sejarawan mengatakan baginda pemerintah keempat kerana meletakkan Syajaratur Dur sebagai pemerintah pertama kerajaan Mamalik dan bukannya Al-Muizzuddin Al-Aibak.
Nama Sultan Qutuz harum dalam sejarah kerana kejayaannya menewaskan tentera Mongol yang sedang menjarah bumi Islam pada masa itu. Seluruh wilayah kekuasaan Islam dalam kerajaan Abbasiah telah berjaya ditewaskan oleh tentera Mongol. Kota Baghdad yang menjadi pusat pemerintahan kerajaan Abbasiah telah jatuh ke tangan tentera Mongul yang dipimpin oleh Hulago Khan pada tahun 656 H. Kejatuhan Baghdad adalah satu penderitaan yang sungguh menghinakan dan kerugian yang besar kepada Islam. Menurut Abul Hasan Ali An-Nadwi, sepanjang menjarah bumi Islam, nyawa muslimin yang dibunuh oleh tentera ganas Mongol mencapai jumlah 1,800,000,000 orang.
1,800,000,000 jiwa muslimin terkorban. Bukan satu angka kecil. Angka itu amat menggerunkan.
Cuba bayangkan, bagaimanalah rupanya mayat-mayat bergelempangan dengan angka sejumlah itu. Sesungguhnya pencerobohan Mongol ke atas dunia Islam adalah satu tragedi hitam yang amat ngeri untuk dibayangkan. Kehilangan nyawa dan tamaddun ilmu yang ditanggung oleh Islam bukan sedikit.
Lebih daripada itu kerendahan maruah umat Islam di waktu itu amat memalukan untuk dibaca dan ditelusuri sejarahnya. Ibnu al-Athir di dalam kitabnya al-Kamil meriwayatkan beberapa cerita yang didengarinya berkenaan penyerbuan Mongol ke atas wilayah Islam.
a. Seorang tentera Tatar masuk ke dalam sebuah perkampungan seorang diri. Kemudian dia membunuh penduduk kampung tersebut seorang demi seorang tanpa mendapat tentangan dari sesiapa pun.
b. Seorang tentera Tatar menangkap seorang muslim. Oleh kerana tentera Tatar tersebut tidak bersenjata, dia telah mengarahkan pemuda muslim tadi agar melekapkan mukanya ke tanah dan tidak bergerak. Tentera Tatar tersebut pulang mengambil senjata dan kemudian datang kembali lalu membunuh pemuda tersebut.
c. Tentera Tatar memasuki bandar Badlis (sekarang berada di selatan Turki). Laluan ke bandar tersebut adalah laluan di celah-celah bukit yang sungguh sempit. Tidak ada seorang pun tentera Islam yang berjaya melepaskan diri dari serangan Tatar di bandar tersebut. Penduduk bandar tersebut pula melarikan diri ke atas bukit dan membiarkan Tatar membakar keseluruhan bandar tersebut.
Sehinggalah tentera Mongol yang menjarah bumi Islam itu berjaya menakluki Syam. Pemerintah Syam yang berpusat di Damsyik pada masa itu, Sultan An-Nasir Yusuf yang lari menyelamatkan harta, keluarga dan hamba-hambanya. Namanya tercatat sebagai pengkhianat yang enggan berjihad dan lebih mementingkan diri sendiri.
Tentera Mongol dengan panglimanya Katabgha merencanakan penaklukan seterusnya ke atas Mesir. Ketika itulah tampilnya seorang sultan yang hebat bernama Qutuz. Disokong pula oleh seorang panglima yang berani bernama Baibrars.
Di tangan Sultan Qutuz yang ikhlas dan bijaksana ini, tentera Mongol kenal tinggi rendahnya langit. Tenteranya yang dibanggakan sebagai tidak pernah kalah, kalah di tangan Sultan Qutuz. Kekalahan yang memalukan Mongol dan menaikkan harga diri dan semangat umat Islam pada masa itu. Kekalahan Mongol dan kemenangan Islam itu berlaku dalam satu peperangan bersejarah yang berlaku di Ain Jalut.
Perang Ain Jalut
Perang Ain Jalut adalah peperangan antara tentera kerajaan Mamalik Mesir pimpinan Sultan Qutuz dengan tentera Mongol pimpinan Katabgha. Ia amat penting kerana peperangan ini telah menghentikan kemaraan tenteraan Mongol dan menamatkan mitos bahawa tentera Mongol tak akan kalah.
Posted by PERENUNG LANGIT at 11:36 AM 0 comments
Labels: Sejarah Islam
Aku membaca sepuluh wasiat imam Hasan Al-Banna. Wasiatnya yang ketiga menyebutkan;
"Berusahalah untuk bertutur dalam bahasa Arab Fushah kerana bahasa Arab yang betul itu adalah syiar Islam".
Satu hari, ketika aku menaiki escalator Masjidil Haram melalui Babus Salam seorang lelaki Arab menegurku. Aku rasa dia adalah penjaga pintu di Masjidil Haram. Dia bercakap-cakap dalam bahasa yang aku tidak dapat fahami dengan baik, biarpun aku tahu bahawa bahasa yang dibicarakannya itu adalah bahasa Arab. Tetapi bahasa Arab yang dituturkannya itu adalah bahasa Arab 'Ami. Entah dari daerah mana, aku tidak mengetahuinya. Lalu, aku berkata kepadanya dalam bahasa Arab Fusha, satu-satunya bahasa Arab yang aku tahu.
"Kallim billugahtil 'Arabiyyah al-Fusha...", kataku kepadanya.
"Atakallam billughati ghairu naa tiqiin biha?",balasnya dengan gaya penuh kehairanan. Ada sinis pada nada suaranya.
"Al-Quran yantiqu biha...", balasku. Lelaki Arab diam. Dan aku meninggalkannya.
Menceritakan peristiwa itu kepada seorang kenalan Masjidil Haram berbangsa Arab Mesir, bernama Muhammad Fauzi Taufiq, seorang pencen syarikat perkapalan Mesir, dia mengatakan;
"Sebahagian Arab adalah kalangan yang tidak terpelajar...badwi..mereka tidak mampu bercakap dalam bahasa Arab Fusha....".
Mempelajari bahasa Arab, dan tentunya bahasa Arab Fusha adalah hukumnya wajib ke atas setiap orang Islam. Ini kerana setiap orang wajib memahami Al-Quran yang dibacanya. Al-Quran diturunkan bukan sekadar untuk dibaca, dilagukan dan dibetulkan hukum hakam tajwidnya. Al-Quran diturunkan untuk difahami maksudnya dan dilaksanakan dalam kehidupan. Untuk memahami al-Quran dengan baik, tentunya perlu mengetahui bahasa Arab. Ini ditegaskan melalui satu kaedah feqah yang berbunyi;
ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب
"Apa yang tidak akan sempurna perkara wajib melainkan dengannya, maka ia juga menjadi wajib".
Jelasnya, memahami bahasa Arab Fusha yang menjadi bahasa Al-Quran adalah satu kewajipan. Apabila memahami wajib, mempelajarinya adalah wajib.
Fatwa mengenai kewajipan mempelajari bahasa Arab ini telah dikeluarkan oleh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi sendiri. Malah menurut beliau, keghairahan sebilangan umat Islam mementingkan bahasa asing untuk diajar kepada anak-anak pada awal usia adalah satu ancaman kepada bahasa Arab. Bahaya yang sama juga ialah kecenderungan menggunakan bahasa Arab dalam pelbagai lahjah mengatasi Arab Fusha.
Apatah lagi kalau hanya asyik mementingkan bahasa Inggeris dan tidak pernah melihat kepentingan bahasa Arab sebagaimana kelakuan sebahagian pendokong PPSMI di Malaysia.
Satu waktu aku bercakap bahasa Arab Fusha dengan sebilangan rakan-rakan yang merupakan lepasan Al-Azhar. Mereka ketawa dan mengatakan bahawa bercakap bahasa Arab Fusha di Mesir hanya akan mengundang kelucuan di sana. Bahasa Arab Fusha tidak dibualkan dan tidak laku di sana. Hatta, pensyarah yang menyampaikan kuliah, juga menyampaikan dalam bahasa Arab 'Ami. Pelajar Malaysia yang pergi ke sana, ada kursus memahami bahasa 'Amiah. Aku memberitahu rakan-rakan itu, bahawa kalau anda ingin bercakap bahasa Arab 'Ami, cakaplah di Mesir sahaja. Kerana yang pulang dari Jordan, Syria, Libya dan sebagainya membawa pulang bahasa Arab 'Ami masing-masing. Bila pulang ke Malaysia, gunakan Arab Fusha kerana Arab 'Ami tidak laku di sini.
Aku mengatakan hal itu kepada seorang sahabat yang sering menggunakan lahjah Arab Mesir.
"Ya gamil...",
"Ya ragul...",
"Hayya natagamma'...".
Memahami bahasa Arab, memberikan banyak kelebihan kepada kita. Kelebihan nombor wahid tentunya dapat memahami Al-Quran. Kita dapat meningkatkan kekhusyukan dalam solat dengan memahami Arab. Seterusnya, sumber ilmu Islam mencapai darjat ketulinannya dalam bahasa Arab. Kita juga boleh menggunakannya di saat kita ke Makkah menunaikan haji. Selain itu, bahasa Arab merupakan bahasa syurga.
Seorang sahabat memberitahuku bahawa ada kalangan yang telah master dalam pengajian Islam, tetapi tidak mahir berbahasa Arab. Seorang ustaz biasa tidak tahu berbahasa Arab, sudah satu kekurangan. Apatah lagi kalau ustaz yang sudah ada master dalam bidang pengajian Islam, tapi bahasa Arab kantol, lebih-lebih lagilah besar kekurangannya.
Menyedari kepentingan bahasa Arab bagi seorang ustaz, aku menyeru sahabat-sahabat ustaz agar mendalami bahasa Arab sehabis-habis daya usaha. Insya Allah, jika ada kesungguhan, kita akan menguasainya. Aku masih mempelajari bahasa Arab dan akan terus belajar. Tidak ada noktah dalam mempelajari bahasa Arab. Jadikan satu kebiasaan bagi anda membaca kitab-kitab Arab dan melayari laman web berbahasa Arab.
Masyarakat umum juga berkewajipan mempelajari bahasa Arab. Usah terpengaruh dan terpesona dengan dakyah kepentingan bahasa Inggeris sehingga mengatasi bahasa Arab. Mempelajari bahasa Arab adalah wajib sedangkan mempelajar bahasa Inggeris tidak wajib. Marilah kita jadi ummat yang merasa izzah dengan bahasa Arab kerana itulah bahasa ummat Islam. Itulah bahasa Al-Quran dan Al-Hadis.
Posted by PERENUNG LANGIT at 9:09 AM 2 comments
Labels: Pendapat
Posted by PERENUNG LANGIT at 12:19 AM 0 comments
Labels: Tafsir
Dalam mentafsirkan ayat di atas, Syeikh Muhammad bin Soleh Al-Uthaimin menyenaraikan beberapa perkara penting iaitu:(Surah Al-Baqarah: 214)
Surah An-Nur: Ayat 55-56
Posted by PERENUNG LANGIT at 3:44 PM 0 comments
Labels: Tafsir
Satu hari, aku bercerita kepada isteriku. Aku telah menemui sepasang suami isteri dalam satu penerbangan. Kebetulan mereka duduk di sebelahku yang meriba anakku Zamila Salsabila.
Kataku menceritakan pengamatanku hari itu.
"Sepasang suami isteri itu kelihatan orang baik-baik. Pada wajah mereka terpancar tanda orang soleh. Suaminya berwajah tenang dan isterinya berwajah manis. Usia mereka mungkin telah menjangkau 40-an. Cuma...kasihan, mereka belum memperolehi anak....".
Dalam kesempatan ini aku ingin mengulas persoalan cahaya wajah dan air muka ini. Cahaya wajah dan air muka dapat dilihat oleh orang lain dan tidak dapat dilihat oleh diri sendiri. Ia bukan terletak pada hansom atau cantiknya seseorang tetapi ia terpancar pada sesiapa sahaja yang memiliki ciri-ciri yang melayakkannya. Cahaya wajah dan air muka itu bertambah dan berkurang mengikut kualiti seseorang individu.Makin tinggi kesolehannya, makin tampaklah cahaya dan air muka kesolehannya. Makin besar durjanya, makin jelas suram dan senjalah cahaya tersebut. Sehingga ada hilang dan sirna sama sekali.
Aku telah menyaksikan lelaki-lelaki afrika yang berkulit hitam, kutemui di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi sewaktu safarku ke sana. Aku melihat setengahnya memancarkan cahaya yang sukar dihuraikan dengan kata-kata. Aku juga telah melihat wajah-wajah hansom dna cantik para pelakun dan penyanyi, Aku merasakan pada kebanyakkannya menyimpan keserabutan dan kecelaruan yang menyuramkan.
Ada seorang lelaki tua di kampungku. Datuk saudaraku. Sesiapa yang memandang wajahnya, akan merasakan cahaya wajahnya dan air muka yang memancarkan tanda kesolehan.
Soal cahaya wajah dan air muka ini bukan omong kosong. Ia benar-benar ada, dan ayat Al-Quran banyak membicarakannya
Allah berfirman:
Terdapat sebilangan orang,salah dalam memahami makna firman Allah pada ayat:
"Tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud".
Akibatnya, kita sering lihat seorang yang solat sehingga hitam dahinya. Kesan sujud pada wajahnya kelihatan. Demikianlah interpretasi manusia lain yang melihatnya. Namun, apakah kesan sujud begitu yang dimaksudkan oleh Allah SWT dalam ayat di atas. Begitukah wajah-wajah para sahabat nabi yang dikatakan pada wajah mereka ada kesan sujud?
Satu tandatanya, sujud bagaimakah orang itu sehingga hitam dahinya. Sujud atas lantai yang keras atau atas sejadah? Ramai para ulama yang alim lagi soleh, tiada pua kesan hitam di dahinya. Apakah individu yang hitam dahinya itu lebih banyak amal ibadatnya? kadang-kadang pemuda dalam usia 20-an sudah ada tanda itu. Malahan, ada yang seusia belasan tahun sudah ada tanda hitam di dahinya. Padahal, ada Tuan Guru, ulama tersohor yang sudah menjangkau 60 tahun, malah 90 tahun, tiada pula kesan hitam di dahinya.
Justeru, apa makna kesan sujud itu sebenarnya?
Imam Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya, ketika mentafsirkan maksud ayat tersebut membawakan beberapa riwayat.
Riwayat daripada Ibnu Abbas mentafsirkan sebagai "السمت الحسن " iaitu "tanda kebaikan".
Mujahid dan lain-lain mentafsirkannya sebagai khusyuk dan tawadduk.
As-Suddi menyebutkan: "Solat itu memperelokkan wajah".
Sesetengah Salaf menyebutkan:
"Sesiapa yang banyak solatnya di malam hari, akan eloklah wajahnya di siang hari".
Sementara itu, hati juga akan mempengaruhi cahaya wajah dan air muka. Amirul Mukminin Umar Al-Khattab pernah berkata:
"Sesiapa yang memperbaiki rahsianya (apa yang ada dalam hatinya), nescaya Allah akan memperbaiki apa yang nyata baginya (air mukanya).
Satu kajian mendapati sifat suka berbohong memberi impak kepada cahaya wajah dan air muka. Seorang yang sering berbohong dan membiasakan diri dengan berbohong, akan meninggalkan kesan berkekalan pada wajah. Hidung, dahi, mata, dan bentuk senyuman akan terbentuk oleh sifat suka berbohong tersebut.
Kajian ini sebenarnya mengesahkan lagi apa yang disebutkan dalam Al-Quran. Allah berfirman:
Dan pada hari kiamat kamu akan melihat orang-orang yang berbuat dusta terhadap Allah, mukanya menjadi hitam. bukankah dalam neraka Jahannam itu ada tempat bagi orang-orang yang menyombongkan diri?Surah Az-Zumar: Ayat 60
Itulah kesan sujud yang sebenarnya. Bukan tanda hitam di dahi yang sering diburu oleh segelintir orang yang beribadat.
Aku memberitahu murid-murid kecilku, jika kamu solat cukup waktunya, kamu akan diberi petanda orang solat pada wajahmu. Tanda itu akan kelihatan di dunia dan lebih-lebih lagi pada hari akhirat.
Aku memberitahu isteriku, jika kita dapat membuang segala sifat mazmumah dalam hati seperti dengki, cemburu, benci, dendam, tamak, cinta dunia, suka bermegah-megah dengan pencapaian duniawi dan segala macam kekejian jiwa, lalu memasukkan pula ke dalam hati segala macam sifat mahmudah, seperti qana'ah, redha, tawakkal, sabar, syukur, cinta akhirat, rendah diri, pemaaf dan sebagainya, akan terpancarlah ketenangan dan petanda orang soleh di wajah.
Akhir sekali, tanda pada wajah yang itu akan ketara dan pasti pada hari qiamat kelak. Inilah yang ditegaskan oleh Allah SWT dalam firmannya:
"Pada hari yang di waktu itu ada muka yang putih berseri, dan ada pula muka yang hitam muram".
Semoga kita tergolong dalam kalangan orang yang dikurniakan cahaya wajah dan air muka tersebut. Dengan itu kita, kita tergolong dari kalangan hamba Allah yang disebutkan sebagai....
"Fi Zumratil Auliya Was Solihin".
Posted by PERENUNG LANGIT at 9:47 AM 0 comments
Labels: Ulasan