Beberapa hari ini, sejak pulang ke kampung, aku tidak dapat membuat sebarang posting kerana ketiadaan acces internet di rumahku di kampung. Untuk ke cyber cafe, aku tidak berminat. Memang mengunjungi cyber cafe adalah perkara yang amat jarang aku lakukan. Selain servis internet yang tak memuaskan, aku juga tidak suka dengan suasana cyber cafe yang tidak menenangkan. Lebih-lebih lagi, sesetengah cyber cafe juga berperanan sebagai pusat game.
Namun, ketika solat zohor di masjid kampungku, masjid yang punya banyak kenangan zaman remajaku, aku melihat seorang anak muda bersama laptopnya di salah satu penjuru masjid. Aku bertanyanya, apa yang dia lakukan. Katanya, dia sedang access internet. Aku terkejut dan bertanya apakah ada wireless di perpustakaan desa yang terletak di pekarangan masjid itu. Ternyata aku tidak mengetahui mengenai hal adanya wireless di perpustakaan desa dalam kawasan masjid kampungku.
Masjid Kg. Datuk, Kedah.
Perpustakaan Desa Kg Datuk, Kedah.
Projek perpustakaan desa telah berjalan bebeapa tahun kebelakangan ini di seluruh daerah-daerah di negeri Kedah. Kebanyakan perpustakaan desa tersebut di bina di perkarangan masjid. Masjid Kg Datuk adalah salah sebuah masjid yang terpilih. Aku meihat aktiviti perpustakaan desa ini cukup memberangsangkan. Sekurang-kurangnya kanak-kanak dan remaja punya tempat untuk berlepak sambil membaca. Sekarang, sudah ada internet, tentu lebih menarik dan bakal membuka ruang maya buat genererasi baru desa.
Ketika aku duduk-duduk dalam CIMB Bank yang berdekatan Giant sambil menunggu isteri menyelesaikan urusannya di kaunter, aku melihat TV LCD di bahagian dindingnya yang sedang memaparkan iklan-iklan yang perlbagai. Ada dua filem yang akan ditayangkan di panggung dalam bulan November ini. Filem pertama ialah 2012 dan filem kedua ialah NINJA ASSASIN yang masing masing ditayangkan pada tanggal 12 November dan 26 November.
Beberapa hari lepas aku telah terbaca di Republika Online mengenai ingatan daripada Majlis Ulama Indonesia (MUI) tentang kebohongan filem 2012 dan meminta masyarakat tidak mempercayainya. Beberapa cawangan MUI peringkat daerah di Indonesia telah mengambil langkah mengharamkan filem tersebut daripada ditayangkan. Ini kerana filem ini secara jelas telah memplotkan cerita kiamat yang didakwa akan berlaku pada tahun 2012. Sedangkan perkara mengenai kiamat dan masa terjadinya adalah perkara ghaibiyyat dan hanya Allah SWT yang tahu mengenai bila akan terjadinya. Dakwaan bahawa kiamat akan terjadi pada tahun tertentu adalah merampas sifat Allah sebagai Tuhan Yang Mengetahui Perkara Ghaib dan ini akan merosakkan akidah.
Di Malaysia, iklan-iklan mengenainya masih berlangsung. Filem ini telah pun mula ditayangkan sejek 12 November yang lalu.
Aku tidak berhasrat untuk membahaskan apakah filem ini perlu diharamkan atau tidak. Bagiku, kalau ia diharamkan sekalipun, orang akan mendapatkannya. Tidak ditayangkan di panggung, orang akan menonton daripada CD, DVD dan juga download daripada internet. Filem-filem yang menyesatkan ini bukan sahaja datang daripada Barat. Negara Indonesia yang MUInya begitu responsif terhadap filem 2012 boleh berdiam diri dengan sejumlah sinetronnya yang kaya dengan kepercayaan khurafat dan tahyul mahyul.
Dalam hal ini, sentimen kebencian kepada Barat dilihat lebih mendominasi bantahan terhadap filem yang dilebelkan sebagai merosakkan akidah. Kalau benar-benar ingin membanteras filem yang menggugat akidah, MUI juga perlu responsif terhadap sinetron daripada Indonesia yang kusut masai dengan kepercayaan sesat. Kita rakyat Malaysia mendapat tahu kekusutan dalam karya-karya filem daripada Indonesia kerana beberapa tahun kebelakangan ini TV Malaysia begitu rajin menayangkan sinetron daripada Indonesia.
Dalam beberapa sinetron, terdapat unsur khurafat dan tahyul yang cuba ditonjolkan dalam bentuk positif. Kewujudan pari-pari yang membantu orang baik-baik sebagaimana dalam sinetron Bawang Putih Bawang Merah, kepercayaan kepada reinkarnasi sebagaimana dalam sinetron Si Cantik dan Si Buruk Rupa dan unsur-unsur khurafat yang dipaparkan dalam filem Legenda, adalah sebahagian yang menyesatkan sedang bergentayangan di dada masyarakat Indonesia dan menyusup ke dalam masyarakat Malaysia.
Kalau filem 2012 itu menyesatkan kerana mendakwa kiamat akan berlaku pada tahun 2012, apa kurangnya filemnya yang menyuntik kepercayaan terhadap pari-pari, reinkarnasi dan tahyul mahyul. MUI seharusnya bersikap peka secara sama rata.
Berhubung dengan filem 2012 ini, sebenarnya ia berasaskan kepada kepercayaan suku Maya yang menghuni selatan Mexico. Kepercayaan suku tersebut terdapat dalam Kalender Maya yang yang meramalkan bahawa peradaban dunia akan berakhir pada tahun 2012.
Aku lebih suka melihat sudut positif.
Pertama, filem ini dicipta oleh orang bukan Islam Barat yang tidak mempedulikan hukum meramalkan tarikh hari kiamat yang dilarang dalam Islam. Kita tidak boleh memaksa mereka berfikir sebagaimana kita berfikir. Kita beriman bahawa yang mengetahui hal ghaib itu cuma Allah SWT sahaja. Sedangkan mereka bukan peduli semua itu.
Kedua, rupanya mereka percaya bahawa kiamat itu akan terjadi. Kepercayaan kepada terjadi kiamat merupakan salah satu rukun Iman yang enam bagi orang-orang yang mengakui beriman. Tidak percaya kepada kiamat adalah golongan dahriyyun, Barangkali, filem ini akan menyedarkan golongan dahriyyun bahawa kiamat itu adalah satu kepastian.
Ketiga, ada baiknya juga apabila filem ini menimbulkan perbahasan di tengah masyarakat tentang kewajarannya. Setidaknya, khalayak ramai yang mengikuti perdebatan para ulama dan cerdik pandai Islam tahu bahawa Islam melarang ummatnya mempercayai kiamat akan terjadi pada satu tarikh yang diketahui manusia. Secara tidak langsung, dimensi akidah orang ramai dapat diperbaiki. Jika timbul kepercayaan atau ketakutan di kalangan masyarakat Islam tentang tarikh kiamat benar-benar jatuh pada tahun 2012, setelah berlalu tahun 2012, kiamat tidak berlaku sebagaimana difilemkan, hilanglah dimensi negatif filem tersebut iaitu penentuan masa terjadi kiamat, dan tinggallah dimensi positif iaitu keyakinan berlakunya kiamat.
Kalau boleh aku ingin mencadangkan kepada MUI di Indonesia, IKIM dan lain-lain pertubuhan Islam di Malaysia agar membuat seminar mengupas sesuatu filem yang dilihat mengandungi unsur yang menyesatkan. Kita tukar cara daripada membatilkan kepada cara mengupas dan menjelaskan sisi yang hak. Masyarakat akan bertambah faham dan kita perlu bersabar.
Mengharamkan filem ini memang mudah. Tetapi menghalang orang menontonnya bukan mudah. Dunia sudah global tetapi tindakan kita masih local. Kita perlu perhebatkan dakwah melengkapkan pemikiran umat ini. Kita tidak selamanya boleh menghalang dan menyekat secara fizikal kerana sekatan dan halangan tfizikal idak lagi mampu berperanan.
Aku akan download filem itu bila sudah ada capaiannya nanti. Aku percaya ramai juga mahu menonton dan melihat kesesatan apakah yang dikatakan itu. Yang melarang orang lain menonton, juga mahu menonton. Terpulang kepada niatnya.
"Jom...kita pergi ziarah wali Allah!", seorang sahabat mengajakku.
"Di mana?", soalku kepadanya sambil terus memandu kereta. Kami dalam perjalanan pulang dari Alor Setar setelah sepagi bersiar-siar melihat ibu negeri Kedah yang hampir setahun tidak kami jenguk. Almaklum, perantau di negeri orang seperti kami, hanya sekali sekala pulang ke negeri kelahiran.
"Di kampung Paya", sahabat itu memberitahuku lokasinya.
"Macam mana anta kata dia wali Allah?", aku mencungkil maklumat tentang individu yang dimaksudkannya.
"Dia orang soleh, kata-katanya penuh hikmah dan kebijaksanaan, orang-orang dari serata negeri selalu mengunjunginya, ada yang berpangkat besar selalu datang ke rumahnya...", sahabat itu menceritakan kriteria yang ada pada orang yang dimaksudkan.
"Hemm..", aku diam dan tidak mahu memberi apa-apa komen sehingga aku melihat sendiri.
Kami menuju ke lokasi. Sebuah rumah yang di kelilingi kebun, pokok-pokok yang pelbagai dan redup. Ketika kami sampai,"wali Allah" itu tiada.Anaknya mengkhabarkan bahawa ayahnya sedang berpergian ke Thailand kerana mengambil barang yang orang mahu hadiahkan. Katanya beberapa bangku batu. Ketika itu hujan pun turun sangat lebat. Kami duduk berbual seketika dengan anak lelakinya yang berumur dalam penghujung belasan tahun dan masih belajar di sebuah sekolah sains. Setelah hujan agak reda, kami pulang dan bila kami sudah jauh meninggalkan kampung paya, aku teringat bahawa aku tertinggal buku-buku yang baru aku beli dari Alor Setar.
"Nampaknya kita kena datang lagi besok...",ujarku kepada sahabat itu.
Esoknya, selepas Zohor kami kembali mengunjungi kampung Paya .Sahabatku itu lebih beriya-iya untuk menziarahi pakcik yang dikatakannya wali Allah itu. Aku pun ingin tahu kebenaran cerita sahabatku itu. Ketika kami sampai, pakcik itu ada tetamu. Beberapa buah kereta sedang parking di halaman rumahnya. Nampaknya macam kereta bukan orang sembarangan. Kereta jenis mahal. Kata sahabatku itu, adalah biasa orang-orang seperti peguam, doktor dan pegawai-pegawai menjadi tetamu di rumah pakcik itu.
Ketika itu sekitar jam 2 lebih. Kami bersalaman dengan pakcik itu dan tetamu-tetamu yang lain. Ada sekitar 10 orang. Setelah itu, kami duduk di tepi dinding dan mendengar pakcik itu berceloteh seloka dengan pelbagai gaya bahasa. Ada cerita, pantun, nasihat dan sebagainya. Tidak lama sesudah kami sampai, sampai lagi beberapa orang yang lain. Dari perkenalan diri rombongan sesudah kami itu, aku tahu mereka datang dari negeri Perlis. Mereka mengadu kepada pakcik itu tentang amalan di negeri Perlis yang dikatakan menolak ahli sunnah wal jama'ah. Waktu itu, aku belum pernah mendengar isu wahabi dan Perlis dikaitkan sebagaimana hari ini.
Aku tidak pasti bagaimana jawapan pakcik itu. Tetapi, sejauh yang aku ingat, tidak ada jawapan muktamad yang diberikannya. Berbagai-bagai soalan dikemukakan oleh tetamu yang berkunjung. Berbagai-bagai pula ulasanan dan kata-kata nasihat yang dilontarkan oleh pakcik itu. Dia juga banyak mengulas tentang perkataan "watawallani fi man tawallait" dalam doa Qunut yang menurutnya, pangkat kewalian itu hendaklah diminta dan diusahakan untuk dicapai.
Antara yang aku masih ingat, pakcik itu juga menyebutkan bahawa satu masa dahulu, di negeri Kedah ada tiga wali Allah yang terkenal dan punya kemahiran dalam bidang masing-masing. Kemahiran itu dipecahkan kepada tauhid, fekah dan tasawwuf. Mereka adalah Tok Guru Pak Ya Junid, Tok Guru Hj Aziz dan Ustaz Niamat. Pada masa hayat ketiga-tiga mereka, pakcik itu mendakwa dia cuma bertindak sebagai pintu untuk menentukan orang yang datang hendak disalurkan kepada siapa bergantung kepada masalahnya. Kini, setelah ketiga-tiganya meninggal, kepadanya tertumpu segala cabang masalah.
Katanya, dia sibuk sekali sekarang ini kerana berbagai-bagai orang datang bertanyakan masalah kepadanya. Oleh itu dia akan membuka semacam pejabat di rumahnya. Akan ada waktu berurusan yang akan ditulis dan dipaparkan di depan rumahnya. Dia kini berperanan sebagai doktor. Doktor kepada jiwa manusia.
Sekali, ketika dia membuka ruang untuk soalan, aku melontarkan soalan tentang isu yang dihebohkan oleh Astora Jabat pada ketika itu dan disiarkan dalam media massa bawa Imam Al-Ghazali mencela Al-Farabi dan Ibn Sina dan menuduh kedua-duanya sebagai athies dan kufur. Pakcik itu tidak menjawabnya sebaliknya dia berkata:
"Saya bukan mufti...soalan itu kena tanya kepada mufti".
Menjelang jam 5 petang pakcik itu masih rancak bercerita. Para penziarah yang datang masih khusyuk mendengar. Pertanyaan dan jawapan masih berselang seli dan tidak memperlihatkan titiknya. Asar sudah lama masuk. Ada pula tetamu-tetamu baru yang sampai. Aku membisikkan kepada sahabat itu bahawa asar sudah lama masuk dan kita perlu minta diri. Kata sahabat itu, sekejap lagi, kerana tetamu sedang berdatangan.Aku bersabar sehingga menjelang hampir jam 6 petang.
Akhirnya kami minta diri. Kami tinggalkan pakcik itu yang sedang masih kaya dengan cerita dan kalam nasihatnya yang rancak dilontarkan.
Kami singgah solat asar di masjid kampung Paya.Agak lewat. Mentari sudah rendah ke Barat.
"Bagaimana anta kata dia wali Allah kalau sampai kita keluar tadi dia belum mahu solat asar dan tidak mengajak penziarah untuk sama-sama solat asar?",keluar pertanyaan itu kepada sahabatku itu dalam pejalanan kami pulang ke kampung kami.
"Mungkin dia solat selepas kita pulang...",sahabatku itu mahu bersangka baik.
"Mudah-mudahan...",balasku.
Dalam hatiku waktu itu berat untuk memperakui kewaliannya. Tahun-tahun berikutnya aku cuba mendalami konsep kewalian yang secara sewenang-wenang diberikan kepada orang yang menampilkan watak luar biasa dalam masyarakat. Aku memahami satu kefahaman bahawa wali Allah itu tidak dapat dikenali dengan mudah berdasarkan petanda-petanda luaran. Banyak petanda luaran menipu kita. Ini kerana Syaitan seringkali mentazyinkan kepada kita agar sesuatu yang buruk, salah, sesat dan keji menjadi indah,muluk, molek dan syurgawi. Pengikut Ayah Pin mungkin pada awal perkembangan ajarannya menganggapnya wali Allah. Para pengikut ajaran Asaari pada peringkat awalnya mengatakan belia cuma wali Allah. Demikianlah, ratusan ajaran menyimpang dalam dunia hari ini bermula dengan rebah tatih memperakukan seseorang pemimpinnya sebagai wali Allah.
Setelah itu, wali Allah menjadi Tuhan, Pemuda Bani Tamim, Sohibuz Zaman dan Rasul bangsa Melayu. Maka, hendaklah kita beriktisod dalam meneyebarkan dakwaan kewalian. Ketua kepada segala wali Allah adalah Rasul Muhammad SAW. Tidak ada seorang manusia beriman yang layak disultankan dengan gelaran "Sultanul Auliya" di atas sahabat nabi yang terutama, Abu Bakar As-Siddik, apa lagi di atas nabi Muhammad SAW. Para wali berada di bawah para nabi. Sesiapa yang mendakwa jalan para wali dan jalan para nabi berbeza sebagai berbezanya syariat dan haqiqat, itulah jalan kesufian sesat yang direkayasa oleh syaitan.
Pemimpin hendaklah berjiwa besar. Pemimpin hendaklah berimamkan kebijaksanaan, ketenangan dan membuang jauh emosi melulu.Pemimpin yang sebeginilah akan memacu perjuangan menongkah arus zaman. Agak senang hati bila membaca ulasan Ketua Pemuda Pas, Ust Nasruddin Hasan Al-Tantawi dalam blognya bawa dia telah menyelesaikan krisis kecilnya dengan Dr. Aziz Bari.Episod tuduh menuduh telah ditamatkan dan tangan telah dijabatkan. Kalau sudah benar sebagaimana diberitahu, itulah jalan terpuji bagi mereka yang saling mencurigai dalam perjuangan. Kembali kepada sangka baik dan meyakini keikhlasan teman-teman seperjuangan adalah langkah yang bukan mudah dilakukan oleh semua orang.
Tekad ketua pemuda untuk mengadakan kunjungan pertemuan dengan beberapa tokoh Akademik bagi mendengar persepsi mereka adalah satu cara yang sangat baik buat mematangkan perjuangan. Nama-nama seperti Dr. Agus, Dr. Abd Aziz Bari dan Dr. Abu Hasan Hasbullah adalah kalangan yang menekuni dunia akedemik dan mempunyai perspektif politik yang berani dan bebas. Kemahuan untuk mendengar komen, ulasan dan kritikan mereka adalah lambang kebesaran jiwa dan kemahuan untuk mematangkan perjuangan.
Sekarang bukan seperti zaman dahulu lagi. Zaman dahulu, pemuda yang menerjuni perjuangan kurang menggunakan minda. Banyak menggunakan emosi dan pelampiasan kata-kata yang mengandungi amarah. Sekarang mad'u adalah rakyat yang cerdik pandai dan menilai dalam diam.Zaman sekarang, perlu disimpan banyak daripada persepsi sendiri tetapi mendengar persepsi orang lain. Kita perlu simpan semangat tetapi menggunakan ketenangan dan kebijaksanaan.
Ujaran Dr Abu Hasan Hasbullah bahawa menolak persepsi adalah primitif perlu difahami dan diamalkan. Biar sebagaimana pahit sekalipan tuduhan yang dilontarkan, berlapang dadalah dan anggap itu sebagai persepsi dan jadikan ia sebagai muhasabah diri. Itu lebih mulia daripada melenting dan membina persepsi balasan yang akhirnya akan menambahkan panas di telinga.
Inilah tajdid dalam perjuangan yang menjanjikan masa depan yang lebih bersinar.
Seketika, termanggu aku membaca kritikan terbaru Abd Aziz Bari, seorang peguam, terhadap Presiden Pas, TG Hj. Hadi Awang dan beberapa pimpinan lain. Aku cuba menyelak lembaran sejarah yang boleh diambil iktibar dan renungan. Atas keyakinan bahawa sejarah sentiasa berulang, aku cuba membanding-bandingkan beberapa peristiwa di zaman Rasulullah SAW dengan peristiwa yang terbaru ini. Aku cuba mencari perkaitan antara dua peristiwa miskipun wujudnya dua peristiwa itu dalam tampang yang berbeza. Mungkin ada kesamaan yang boleh dita'bir.
Ketika perang Uhud berkecamuk pada pusingan kedua, ramai juga para sahabat yang lari meninggalkan medan peperangan. Di antara yang lari tersebut, termasuklah sahabat besar merangkap menantu Rasulullah SAW iaitu Saidina Uthman bin Affan. Peristiwa larinya Saidina Uthman bin Affan tersebut telah menjadi modal ungkitan seorang sahabat yang lain yang bernama Abd Rahman bin Auf ketika berlaku perbalahan mulut antaranya dengan Saidina Uthman bin Affan.
Kata Abd Rahman bin Auf kepada saidina Uthman bin Affan:
"Adakah kamu mencela aku padahal aku menyertai perang Badar sedangkan kamu tidak, Aku berbai'ah dalam Bai'atur Ridhwan sedangkan kamu tidak ikut serta dan kamu pula adalah dari kalangan mereka yang lari meninggalkan medan perang Uhud!".
Saidina Uthman bin Affan menjawab keritikan Abd Rahman ke atas peribadinya itu dengan mengatakan:
" Dakwaanmu yang mengatakan aku tidak menyertai perang Badar, maka sesungguhnya ketika perang itu meletus, isteriku yang juga puteri Rasulullah SAW sedang sakit dan aku merawatnya. Rasulullah SAW telah melemparkan panah untukku dalam peperangan itu. Dakwaanmu yang mengatakan aku tidak ikut serta dalam Bai'atur Ridhwan, maka sesungguhnya aku telah dihantar oleh Rasulullah SAW ke Makkah untuk melihat keadaan dalam kota Makkah ketika itu. Lalu Rasulullah SAW meletakkan tangan kanannya di atas tangan kirinya sambil berkata "ini adalah untuk Uthman". Tangan kanan dan kiri Rasulullah SAW lebih baik daripada tangan kanan dan kiriku. Sementara dakwaanmu yang mengatakan aku lari meninggalkan medan perang Uhud maka Allah telah memaafkan aku sebagaimana firmannya:"
إن الذين تولوا منكم يوم التقى الجمعان إنما استزلهم الشيطان ببعض ما كسبوا ولقد عفا الله عنهم إن الله غفور حليم
Sesungguhnya orang-orang yang berpaling di antaramu pada hari bertemu dua pasukan ituHanya saja mereka digelincirkan oleh syaitan, disebabkan sebagian kesalahan yang Telah mereka perbuat (di masa lampau) dan Sesungguhnya Allah Telah memberi ma'af kepada mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun.
(Surah Ali-Imran: Ayat 155)
Demikianlah yang dicatatkan oleh Imam Al-Qurtubhi dalam tafsirnya ketika mentafsirkan ayat 155 surah Ali Imran. Dari catatan tersebut, kita dapat melihat bagaimana seorang sahabat besar seperti Saidina Uthman bin Affan yang begitu banyak pengorbanan untuk perjuangan Islam, pun berdepan dengan kritikan terhadap komitmennya kepada perjuangan. Kalau difikirkan, kenapalah dua sahabat Rasulullah SAW yang masing-masing dijanjikan syurga , masih berbalah dan saling membuat kritikan terhadap komitmen seorang yang lain kepada perjuangan Islam. Namun, satu hakikat yang perlu dimengerti, bahawa sahabat-sahabat Rasulullah SAW tersebut juga adalah manusia biasa.
Peristiwa seumpama ini memang berlaku dalam jama'ah Islam. Kalau dalam jama'ah Islam yang ditegakkan dan mendapat tarbiah secara langsung daripada Rasulullah SAW pun masih ada situasi begini, apatah lagi dalam jema'ah yang berjuang untuk Islam di zaman mutaakhirin ini.Percekcokan bukan sahaja ditimbulkan oleh kalangan munafiqin dalam jema'ah tetapi juga dari kalangan anggota jema'ah yang ikhlas berjuang untuk jema'ah.
Mengenali samada munafiqin atau ahli jema'ah yang ikhlas yang menimbulkan percekcokan dalam jema'ah, bukan satu perkara yang mudah. Rasulullah SAW yang mengetahuinya itu lalu menyuruh seorang sahabat bernama Huzaifah Al-Yamani membuat senarai database munafiqin di Madinah, pun menerusi wahyu dari Allah SWT sebagaimana firmanNya:
ما كان الله ليذر المؤمنين على ما أنتم عليه حتى يميز الخبيث من الطيب وما كان الله ليطلعكم على الغيب ولكن الله يجتبي من رسله من يشاء فآمنوا بالله ورسله وإن تؤمنوا وتتقوا فلكم أجر عظيم
Allah sekali-kali tidak akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan kamu sekarang ini, sehingga dia menyisihkan yang buruk (munafik) dari yang baik (mukmin). dan Allah sekali-kali tidak akan memperlihatkan kepada kamu hal-hal yang ghaib, akan tetapi Allah memilih siapa yang dikehendaki-Nya di antara rasul-rasul-Nya. Karena itu berimanlah kepada Allah dan rasul-rasulNya; dan jika kamu beriman dan bertakwa, Maka bagimu pahala yang besar.
(Surah Ali-Imran: Ayat 179)
Kalau Rasulullah pun tidak mengetahui apa yang ada dalam hati manusia untuk menentukan kemunafikannya, bagaimanalah mungkin kita mengetahuinya. Sesungguhnya kemunafiqan adalah termasuk dalam urusan ghaib yang hanya ada dalam ilmu Allah SWT.
Pada hari ini, manusia telah memenuhi alam. Di darat, di laut dan di udara, manusia ada di mana-mana. Begitu ramai manusia berbanding dahulunya yang cuma seorang, kemudian dua orang, menjadi sekelompok dan kaum-kaum. Kini manusia telah begitu ramai. Bila sudah ramai, timbul percakaran, persengketaan, pergaduhan, permusuhan dan perbalahan. Pendeknya timbullah apa yang dikeluhkan oleh para malaikat ketika Allah memaklumkan tentang kehendakNya untuk menjadi penghuni baru di bumi yang akan menjadi khalifah. Firman Allah SWT:
قالوا أتجعل فيها من يفسد فيها ويسفك الدماء
Mereka (para malaikat) berkata, apakah Kamu (ya Allah) mahu menjadikan di muka bumi itu mereka yang akan membuat kerosakan di dalamnya dan menumpahkan darah?
(Surah Al-Baqarah: Ayat 30)
Manusia, ketika masih lagi di alam roh hidup sepakat. Citra mereka satu. Kesatuan citra ini tergambar dalam jawapan yang dilontarkan Allah SWT kepada mereka sebagaimana firman Allah SWT:
أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُوا بَلَى شَهِدْنَا
“Bukankah aku Tuhan kalian? Mereka(para roh) menjawab, sudah tentu Kau Tuhan kami, kami bersaksi.”
(Surah Al-A’raf: Ayat 172)
Bila manusia memulakan kembara hijrah meninggalkan alam ruh yang aman damai dan bercitrakan satu citra sahaja, manusia terpaksa belumba. Manusia yang saat itu cuma sperma-seprma yang jumlahnya jutaan berlumba, tangkis menangkis, tolak menolak, memburu dengan penuh ketidakpedulian, ananiyyah dan penuh tega, demi menguasai dan menakluk satu matlamat. Menguasai dan menakluk ovari.Hanya satu yang berjaya. satu yang paling jagoan, gedebe dan kental dengan ananiyyahnya.
Itulah kita, yang hari ini lahir bernama manusia di muka dunia. Persengkataan dalam mencapai kuasa penaklukan ketika di alam rahim itu menjadi tabiat kita yang mendarah daging dalam menjalani hidup di dunia ini.
Aku merenung ikan-ikan keli belaan dalam kolam. Ikan keli itu banyak sekali. Aku lempar makanan ikan ke tengah gerombolan ikan keli yang sedang berebut bertindihan sesama sendiri. Seketika...aku terkenang persengketaan manusia dalam dunia ini. Manusia seumpama ikan keli.
Ikan keli bersengketa penuh ananiyyah hanya buat merebut sebiji kecil makanan yang dilempar.
Manusia bersengketa merebut makanan-makanan kehidupannya. Harta, tahta dan wanita.
Manusia berselisih dalam berbagai persoalan kehidupan dari perkara besar sehingga ke perkara remeh temeh.
Daurah Al-Quran semalam, beberapa soalan dilontarkan kepadaku. Antaranya ialah soalan mengenai amalan azan dalam kubur. Berdalilkan logik manusia itu ketika lahir diazankan, maka sayugialah ketika meninggal dan dihantar tempat asalnya (tanah), azan dilaungkan juga. Aku menjelaskan mengenai hal itu berpaksikan dua perkara.
Pertama, agama tidak boleh didirikan berasaskan logik dan andaian. Agama hendaklah berpijak kepada dalil sama ada dari Al-Quran maupun hadis nabi. Amalan orang tua-tua bukan hujah sekalipun amalan orang tua-tua itu adalah amalan para agamawan masa lalu. Kuncinya terletak kepada dalil Al-Quran maupun hadis. Kedua, amalan tersebut tidak pernah dibuat oleh Nabi, para sahabat dan salafussoleh. Tidak ada dalil yang boleh dipertanggungjawabkan untuk mengharuskannya. Kalau hanya berdasarkan logik manusia diazankan ketika dilahirkan,maka sayugia diazankan ketika dihantarkan, itu cara sandaran yang tidak boleh diterima. Akal dan logik bukan sandaran dalam beragama. Amalan nenek moyang juga bukan sandaran.
Lalu..aku menjawab bahawa amalan tersebut adalah bid'ah.
Maaf. Perkataan bid'ah amat sensitif bagi sesetengah orang. Biasanya bila kita mengatakan sesuatu itu bid'ah, sesetengah orang itu akan memandang kita dengan mata dipicingkan. Sepontan, keluarlah satu tuduhan.
"Anda wahabi!".
Kerja membid'ahkan amalan yang tidak bersandarkan dalil sering dilebelkan dengan kelompok wahabi.
Soalan lain yang diutarakan semalam ialah perbuatan sesetengah kalangan masyarakat kita yang telah kematian saudara maranya di satu negeri yang jauh. Katakanlah negeri Makkah. Saudara mara yang meninggal di Makkah itu, dikuburkan di Makkah. Namun saudara maranya di negara Malaysia akan membuatkan sebuah kubur untuknya di kampungnya di Malaysia.
Aku menjawab,perbuatan itu juga bid'ah. Nabi, para sahabat dan salafus soleh tidak pernah membuatnya. Lagipun, membina kubur di satu tempat yang di dalamnya kosong, tiada mayat ditanam, adalah sia-sia. Ia boleh membawa kepada kesyirikan jika sampai kubur itu ditaqdiskan. Ia menjadikan khurafat jika sampai timbul sangkaan bahawa kubur itu adalah kubur si mati yang meninggal di negeri yang jauh. Perbuatan membuat kubur simbolik sebegini adalah diasaskan atas sangkaan akal manusia yang diwarnai dengan kepercayaan karut marut nenek moyang.
Aku tegaskan bahawa agama bukan cetusan akal dan bukan warisan nenek moyang.Dengan menafikan amalan tersebut sebagai sebahagian daripada Islam, aku menyingkirkannya kepada kelompok bid'ah. Ini kerana ia perkara baru yang dikaitkan dengan Islam padahal ia bukan dari Islam. Membid'ahkan amalan-amalan yang tidak tentu hujung pangkal ini, bukan tugas wahabi. ia adalah tugas setiap orang yang mencintai ketulinan Islam dalam pengamalan.
Ketika disoal tentang talqin, aku mengatakan talqin itu adalah perkara khilafiah di kalangan ulama. Sebahagian ulama mengamalkan berdasarkan dalil-dalil praktikal yang pernah nabi lakukan yang difahami sebagai talqin. Sebagian menolak dan berhujah bahawa praktikal Rasulullah SAW sebegitu tidak boleh diistimbatkan sebagai pensyariatan talqin. Mengamalkan talqin atau meninggalkannya bukan perkara besar yang perlu dihebohkan. Pada saat yang mengizinkan talqin dibuat, ia boleh dibuat. Pada saat yang lain, ia boleh ditinggalkan jika mahu.
Aku bukan penentang tahlil. Aku pergi ke jemputan tahlil. Namun,aku tidak menguatamakan tahlil berbanding solat berjemaah. Kalau ada usrah dan jemputan tahlil dalam satu masa, aku utamakan usrah. Kalau buat tahlil selepas solat maghrib di rumah si mati, aku tak akan pergi. Aku tak suka duduk beramai-ramai sambil geleng kepala kiri kanan mengucapkan kalimah tayyibah sedangkan waktu itu azan sudah dilaungkan dan orang lain sedang menunaikan solat berjema'ah. Majlis tahlil itu kecil sekali dan kehadiranku adalah untuk tujuan dakwah dan persaudaraan. Jika tiada maksud dakwah dan persaudaraan, tiadalah aku suka menghadirkan diri.
Malam jumaat aku baca yasin di surau. Kekadang aku pulang dan tak baca yasin malam Jumaat. Baca yasin bukan wajib buatku. Kekadang solat subuh aku tak baca doa qunut. Dalam banyak keadaan, aku baca doa qunut. Pernah, tatkala jadi imam, aku terlupa doa qunut. Terlupa juga sujud sahwi. Ada makmum bertanya. "Apalah kiranya solat subuh kita pagi ini ustaz?". Kataku, solat subuh kita, insya Allah sempurna. Tiada kurang apa pun. Qunut bukan masalah. Tapi, aku selalu mengingatkan diriku agar berqunut. Aku ingin mengambil iktibar dari amalan imam Syafie ketika mengimamkan jemaah solat subuh di depan pengikut mazhab Abu Hanifah.
Padaku, inilah pandangan moderat dalam beragama. Moderat ertinya wasatiyyah. Wasatiyyah adalah sebaik-baik jalan. Kita tidak semberono membid'ahkan semua perkara. Sebagaimana kita dilarang semberono dalam berpegang kepada sesuatu perkara agama, kita juga dilarang semberono menolak sesuatu amalan. Dalam menetapkan sesuatu perkara, kita melihat kepada dalil dan hujjah yang diberikan. Jika masing-masing punya dalil dan hujjah, kita lihat kepada keperluan dan tuntutan dakwah dalam masyarakat.
Namun, kita tidak harus lemah dan terhuyung hayang dalam berpegang dengan sesuatu yang kita yakini. Yang kita yakini hendaklah berpaksikan hujah dan dalil.
Kita...membujur lalu melintang patah.
Lebih-lebih lagi dalam memperjuangkan lagu perjuangan. Kita tidak harus muzabzab. Biar kita tegak kukuh laksana gunung kinabalu yang menggapai awan itu!
Mudahan kita akan menemui Allah pada penghujung yang kekal istiqamah.Semoga itulah husnul khatimah.
Dr. Asri ditangkap oleh penguatkuasa JAIS atas alasan tiada tauliah.
Aku teringat seorang kawanku yang cuma lulus SPM dan kemudian menjadi guru KAFA. Dia kata dia ada lesan besar untuk mengajar di mana-mana dalam negeri Kedah kerana dia ada tauliah. Ada guru-guru agama kampung, ketika mengajar di masjid dan surau, suara antara dengar dan tidak, pendengar 3 orang cuma, tapi dia ada tauliah. Ada yang dipanggil lebai, mengajar sambil baca kitab harfun bi harfin , macam budak-budak tabligh baca kitab Fadhail Amal depan jemaah lepas solat, tapi lebai itu ada tauliah. Ilmu ditambat dengan tauliah. Kononnya untuk mengawal penyebaran ajaran sesat. Ironinya,ajaran sesat bertambah saban tahun. Di Selangor,negeri yang keras mendaulatkan tauliah pun, ada berpuluh ajaran sesat. Terbaru ajaran Kahar Ahmad yang mengaku sebagai rasul Melayu.
Kawanku itu suruh aku minta tauliah tetapi aku tidak mengambil peduali cadangannya. Mungkin kerana aku tidak rasa perlu kerana aku bukan tinggal di negeri Kedah. Aku tinggal di negeri Sabah. Di Sabah persoalan tauliah tidak dipentingkan sangat. Sekurang-kurangnya sehingga aku menulis ini, aku belum pernah mendengar seorang ustaz dihalang menyampaikan kuliah kalau tidak ada tauliah. Kalau mahu semua ustaz ada tauliah, tak dapatlah mengajar di sekolah-sekolah. Biar semua sekolah lumpuh daripada pendidikan Islam sebab guru-guru agamanya gagal mendapatkan tauliah.
Baru pagi tadi seorang sahabatku dari negeri Selangor menalifonku mengatakan dia sedang berusaha mendapatkan tauliah. Kebetulan sahabatku itu sedang ulang alik antara Mesir dan Malaysia kerana pengajiannya peringkat ijazah yang belum tamat. Katanya tauliah diperlukan untuk mengajar atau memohon jawatan imam di negeri Selangor.
Secara sepontan dia memberitahuku bahawa dia menyokong 100% Dr. Asri dan menyatakan orang sepertinya apa perlu lagi tauliah. Ramai yang tidak layak mendapat tauliah diberikan tauliah. Dalam bersahaja, aku katakan kepada sahabatku itu, janganlah sokong 100%. Itu taklid buta namanya. Kita hendaklah mendengar hujah seseorang tokoh dan kita tidak mengkultuskan mana-mana tokoh.
"Kalau pihak JAIS tahu kamu sokong 100% jangan mimpilah nak dapat tauliah...", lanjutku.
Kita generasi baru yang belajar agama berdasarkan hujah dan dalil. Kita tidak lagi menjawab "na'am" pada segala apa yang dikatakan oleh tuan guru, syeikh atau mana-mana tokoh. Kita meminta dalil, hujah dan sandaran. Kita mahu tahu ayat berapa dan hadis mana yang menjadi rujukan. Kita mahu mendengar hujah mazhab mana paling kuat untuk dipegang. Kita tidak perlu telalu mencintai mazhab syafie sehingga bermati-matian mempertahankannya. Kita membuka minda seluasnya untuk menerima pandangan mazhab lain dan mendengar hujahnya. Seterusnya,kita juga tidak mengkultuskan mana-mana tokoh baik tokoh zaman lalu maupun tokoh semasa. Kita tidak mahu taklid buta.
Masa aku baru habis belajar universiti, datukkku telah meninggal. Menjadi kebiasaan orang kampungku pergi berjumpa tuan guru minta bacakan Quran dan tahlil untuk si mati. Bapaku juga melakukan hal yang sama untuk datukku. Aku melihat beberapa not wang beralih tangan setelah tuan guru itu mengatakan kos baca Quran dan tahlil adalah sekian banyak.Aku bertanya bapaku, apakah dalilnya semua amalan ini. Jawapan simplistik bapaku, itu adalah amalan yang diajarkan oleh tok-tok guru. Itu sahaja sandarannya. Tok guru adalah orang yang lebih pandai agama dari kita. Aku tidak suka terima itu sebagai sandaran. Aku perlukan hujah dan dalil.
Memikirkan kes Dr. Asri ditahan kerana menyampaikan kuliah tanpa tauliah, aku rasa malu dengan gelagat penguasa agama yang jahil tentang fungsi tauliah. Tauliah tidak harus dijadikan alasan untuk menidakkan otoriti penyampaian ilmu oleh orang yang diakui otoritinya oleh instititusi pengajian yang diiktiraf dan lebih-lebih lagi Dr. Asri yang merupakan bekas seorang mufti sebuah negeri. Tauliah bukan untuk digunakan sebagai alasan lurus bendul untuk menghalang setiap orang yang tidak punya tauliah. Kalau suruh aku minta tauliah, memang aku sendiri tak akan minta tauliah.Kalau mahu aku ada tauliah, berikanlah tauliah kepadaku tanpa perlu aku minta. Apatah lagi seorang tokoh ilmuan yang pernah menjawat jawatan mufti. Siapa pula yang menjadi juru penilai untuk memberi tauliah itu? Orang yang telah berada pada satu kedudukan intelektual dan mencapai tahap keilmuan tidak akan pergi memohon sekeping tauliah.
Jangan suruh para ilmuan dan ulama terhegeh-hegeh memohon tauliah kepada pegawai yang tidak dikenali. Apa lagi pegawai itu sendiri, yang punya tauliah bertimbun-timbun, tidak mampu menyampaikan ilmu pun. Kalau pun nak sampaikan ilmu,bukan ada orang mahu mendengar.
Pada hari ini, aku menyampaikan khutbah jumaat di masjid Jannatun Na'im, Sri Taman, Sandakan. Tajuk khutbah keluaran Jakim adalah bertajuk Ajaran Sesat. Aku menyampaikan tajuk "Pendusta-pendusta yang mengaku nabi", satu tajuk yang aku modifiy daripada khutbah keluaran Jakim.
Selesai solat ba'diah Jumaat, seorang pemuda datang kepadaku dan bertanya tentang satu ajaran sesat yang telah aku sebutkan ketika menyampaikan 56 ajaran sesat yang telah diwartakan pihak Jakim. Ajaran itu adalah Ajaran Mohd Seman Al-Banjari. Menurutnya, dia rasa terkejut dan keliru kerana dia sedang berjinak-jinak dengan ajaran tersebut.
Pemuda itu, baru masuk Islam. Dulunya dia beragama kristian.Dia berkahwin dengan seorang perempuan Islam dan keluarga isterinya tinggal di Kota Kinabalu. IDia selalu ke rumah mertuanya dan di sana dia kerap dibawa hadir ke majlis ajaran tersebut oleh bapa mentuanya. Menurutnya, bapa mentuanya adalah pengikut utama ajaran tersebut.
Ketika aku minta dia menerangkan ciri-ciri ajaran tersebut, dia menyebutkan tentang zikir yang diamalkan sangat berat dan dia belum mampu menunaikannya. Pada satu tahap, murid-murid akan duduk atas kain putih bagi berbai'ah kepada gurunya. Pemuda itu, katanya belum ke tahap itu. Katanya, gurunya mendakwa pernah naik sehingga langit ketujuh. Pengikut ajaran itu memakai pakaian yang berbeza warna mengikut hari tertentu. Mengenai solat lima waktu, katanya sejauh pemerhatiannya, gurunya tidaklah mendirikan solat lima waktu. Dia cuma solat pada hari tertentu sahaja. Katanya, hari khamis sahaja.
Mendengar penjelasan ringkasnya mengenai ajaran tersebut, aku memperkuatkan lagi dakwaan kesesatan ajaran tersebut. Aku nasihatkannya agar meninggalkannya. Amat sayang sekali kalau dia masuk islam akan tetapi menemui Islam yang yang disesatkan. Aku ceritakan kepadanya bahawa Islam ini umpama pokok machang.
Aku memberikannya nombor talifonku sebagai rujukan perbincangan jika diperlukan. Mudahannya dia tidak hanyut jauh dalam ajaran seumpama itu.
Pihak berkuasa perlu mengambil langkah tegas menghalang ajaran tersebut yang dikatakan sedang melebarkan pengaruhnya di bumi bawah bayu melalui kawasan pantai barat. Pemuda itu adalah mangsa kepada dajal sesat penyebar ajaran yang ditempelkan kepada Islam. Entah berapa ramai lagi mangsanya, tidaklah aku tahu. Apa yang jelas, ajaran sesat suka memilih negeri Sabah buat melebar pengaruh.
"Hanya pejuang yang lahir daripada tarbiah yang benar yang boleh dipercayai..."
Pada hari itu, dia bercakap tentang perjuangan. Jemarinya digenggam dalam penumbuk yang menjulang ke udara. Suaranya penuh semangat, penuh wibawa. Berpatah arang berkerat rotan. Membujur lalu melintang patah. Biar putih tulang jangan putih mata. Biar mati bergalang tanah, namun perjuangan diteruskan jua. Seribu satu kata semangat membakar jiwa keluar bergema depan ribuan khalayak. Sungguh mempersona sekalian rakyat marhaen .
Baru kemarin dia berkata begitu. Tapi hari ini kenapa boleh berubah laku?
"Saya telah sedar...selama ini saya tertipu...", demikian antara beberapa jawapan mudah, escapisme dan naif sekali.
Mengapa hari ini baru sedar? Kenapa tidak kemarin? Mengapa tidak dari dulu? Mengapa setelah terasak ke tepian dinding, baru mengatakan "kini aku sedar"?
Rakyat sedang memerhati gelagat sesetengah pemimpin yang diberikan amanah lalu mengkhianati amanah yang diberikan. Ada yang dulu berpidato penuh emosi membawa semangat juang. Ada yang berjuang dengan perjuangan suci membanteras rasuah, tapi kini lunak bercakap basa basi. Apa hendak dikatakan kepada 3 luncai yang telah menyebabkan robohnya kerajaan Pakatan di negeri Perak? Ada pemimpin yang semangat melayu sampai ke awan, dulu bercakap sopan santun dengan tok guru, kini menjulang keakuan dan ketidakpedulisme.Beberapa pemimpin komponen Pakatan Rakyat membuat kejutan mengisytiharkan diri meletakkan jawatan itu dan ini. Terbaru, seorang lagi ADUN Pakatan di Kelang istihar keluar parti.
Dulu, masa rimba tebal di sini, tiada lalang yang tumbuh. Kini setelah rimba menjadi huma, jagung sedang ditanam, lalang tumbuh di sana sini. Lalang-lalang yang disangka padi bukit sering meliut ditiup angin.
Aku rasa macam nak ketawa besar bila dengar berita radio klasik dalam keretaku sewaktu memandu pulang sekolah jam 1.30 petang ini. Satu kejadian yang lebih pelik daripada sejadah berdiri dilaporkan berlaku di Yan, Kedah. Kejadian itu ialah 'kain pelikat berdiri'. Lelaki yang menanggalkan kain pelikatnya di dalam bilik dan meninggalkannya ke bilik mandi terkejut apabila kembali dan mendapati kain pelikatnya tidak berada dalam keadaan sebagaimana beliau tinggalkan. Malah, ia kelihatan berdiri. Beliau meminta pejabat agama menjelaskan perkara tersebut.
Inilah rentetan lawak jenaka sejadah berdiri yang dihebohkan baru-baru ini. Sekarang sudah mula berdiri benda-benda lain selain sejadah. Kain pelikat sudah dilaporkan berdiri. Lepas ini,kain batik, seluar, baju, cadar katil, tikar dan macam-macam lagi mungkin akan berdiri. Silap-silap, ada pula berita seluar dalam berdiri!
Huah!Sekali fikir memang lucu. Dua kali fikir rasa malu. Fikir berkali-kali, tak timbul pun rasa pelik dan ajaib. Sungguh hairan mengapa berita mainan sebegini dipercayai. Kalau tak percaya tentu tidak akan diberitakan dalam TV dan radio.
Masyarakatku...bangsaku...dulu nenek moyang kita terbelit dalam tahayyul yang akarnya adalah percaya keajaiban benda dan alam. Kini, setelah zaman beralih, akar kepercayaan kepada keajaiban tersebut yang menerbitkan tahayyul nenek moyang masih menjangkiti anak cucu dalam bentuk baru. Percaya benda ajaib dalam masyarakat Melayu adalah sifat kental yang bukan mudah disingkirkan.
Masih ada orang melayu percaya keris boleh berdiri sendiri dan mengatakan itu adalah kekuatan sesebuah keris. Masih ada orang Melayu percaya kayu tas punya kejaiban yang boleh menakutkan ular, kala dan semua binatang berbisa. Masih ada orang melayu admire kepada kayu koka dan meyakini keajaibannya. Kalau dulu nenek moyang percaya keajaiban benda-benda itu dengan disandarkan kepada semangat, penunggu dan sebagainya, kini anak cucu yang sudah diajarkan akidah Islam bersantun dengan mengatakan bahawa keajaiban itu adalah kerana Allah menjadi kekuatan pada benda-benda tertentu di alam ini. Apapun sandaran, nenek moyang mahupun anak cucu masih terbelenggu dalam kepercayaan kepada benda ajaib dan pelik.
Bukan aku menafikan adanya perkara khawariqul adah dan mendewakan pembuktian saintifik pada semua perkara. Tetapi, percaya benda ajaib dan pelik dalam masyarakat Melayu adalah keterlaluan dan mematikan fungsi akal!
Tarbiah merupakan tiang kepada perjuangan Islam. Perjuangan tanpa tarbiah akan melahirkan pendokong-pendokong perjuangan yang putik dan separuh masak yang tidak tahan diuji mahupun tawaran duniawi.Tentunya kita tidak mahu orang yang kita kenali sebagi pejuang-pejuang Islam berpatah arah dan meninggalkan perjuangan. Kita telah saksikan bagaimana manusia yang tidak punya tarbiah berbuat khianat kepada rakan seperjuangan sehingga runtuhnya sebuah kerajaan di negeri Perak yang baru dibina.Peristiwa itu benar-benar penting diambil iktibar bahawa menjaga sebuah kemenangan memerlukan tarbiah mantap buat pendokong perjuangan.
Buat pemimpin-pemimpin kami yang sedang terbang dengan sayap kasuari, ayuhlah hinggaplah di dahan-dahan tepian padang, paya, sungai dan segenap rimba lalu nyanyikan lagu tarbiah buat genarasi baru yang sedang bangkit menggalas kelangsungan perjuangan.Tinggalkan persengketaan, perdebatan, dan perlumbaan mencari pengaruh serta semua maksud sepele yang tidak menguntungkan perjuangan. Melatalah ke segenap bumi dalam setiap kesempatan dan kemampuan untuk menyemai tarbiah di kalangan pengikut sebuah perjuangan walau sekadar membaca "Ma'thurat".
Ust Abd Ghani Syamsuddin, pemimpin gerakan dari pusat yang turun melebar tarbiah di Kundasang baru-baru ini.
Aku suka sekali kalau kita jangan terlalu mengharapkan untuk berceramah di rapat umum yang menghimpunkan massa yang ramai. Usah menunggu majlis ceramah sempena hi-tea di hotel-hotel terkemuka. Atau saat gempur pilihanraya. Kepada pemimpin-pemimpin kami, datanglah ke secerok rantau negara di mana pengikutmu sedang duduk berqiamullail di masjid, berkhemah dalam tamrin di tepian sungai atau berusrah di pejabat usang berdinding papan berlubang.Datanglah walau sekadar membaca doa rabithoh. Tarbiah tidak memerlukan kebijakan berpidato. Tarbiah tidak memerlukan lidah yang pasih berbahasa bombastik,melankolik atau poematic. Tarbiah memerlukan perkataan yang lemah lembut, kelakuan rendah diri dan hati yang ikhlas.
Sumber kekuatan kita adalah tarbiah. Kebersamaan kita dalam Pakatan adalah strategi. Ia bukan sumber kekuatan kita. Strategi boleh berubah-ubah mengikut keputusan bersama. Namun, tarbiah adalah tuntutan. Tarbiah adalah sunnah yang jika tiada ia, tidaklah dinamakan perjuangan Islam.
Wahai angin yang bertiup tengkujuh.Puputlah membayu membawa dingin tarbiah. Wahai mentari panas terik yang membara, pancarlah sinar duha tarbiah yang menyegarkan. Wahai ombak yang berdebur, bawalah segala pepasir, binalah pantai lebar pentarbiahan.
Kami semut melata...ingin jalan berderetan mengangkat segala hasil mahsul pejuangan ke dalam busut jemaah. Kami ingin melihat busut menjadi pongsu. Kami ingin melihat pongsu menjadi bukit. Kami ingin melihat bukit menjadi gunung. Biar gunung mencakar awan. Kami letih bercakaran. Musuh kami kuat dengan segala kelengkapan. Tenaga kami cukup-cukup untuk menghadapi mereka. Tenaga kami tidak akan mampu menghadapi walau sekelumit beban percakaran dalaman. Kami ingin pejam mata dan berpura-pura tidak minat tentang apa yang dipertikaikan. Walau memang sulit mengabaikan.
Lalu...aku membisikkan buat menstabilkan gejolak sebuah perjuangan...
Cerita Salasilah
-
Orang-orang di sekitar kampungku ramai yang masuk dalam kumpulan yang
dinamakan keturunan Wan Mustapha. Menurut Cerita, Wan Mustapha itu
bersambung lelu...