Pemilik Blog

Pemilik Blog
Ust Kama (PerenungLangit)

TAQWIM HIJRI

Waktu Malaysia

WAKTU SOLAT

TEACHERS ONLINE

IDME E-OPERASI SPLKM HRMIS EHASIL PenyataGaji apdm NKRA(KEBERHASILAN) FROG VLE Pajsk

PDPR 2021

Blog PDPR PDPR Kedah SpKedah Hantar RPH SKSS

LAMAN ARAB

AL_QARADHAWI Al-Meshkat Islamweb Islam Online LiveIslam Soidul Fawaid Toriqul Islam Al-Islam Islamqa Multaqa Ahlul Hadis Toriqut Taubah Zadul Ma'ad Mausu'ah Al-I'jaz Al-Ilmi Nidaul Iman Lahaonline Sahab.net Al-Sunnah.com Al-Sunnah.com

PORTAL PILIHAN

AKSESORI

Facebook BOX.NET Youtube Imageshack Babylon translation Merriam Webster Online Kamus Online Bahasa Arab Online Dictionary: English-Malay Ujia Kecepatan Menaip Mediafire Rapidshare 4Shared Ziddu Slide Filehippo 2Shared 2Shared PDFChaser MIXPOD Al-Ma'ani EVERNOTE BOX.NET Photobucket Photobucket Photobucket Unit Coverter

Rujukan

Widak buat teman-teman yang menjengah

November 8, 2008

Esok saya balik kampung. Beberapa perkara perlu dipersiapkan sebelum berangkat ke Tanah Suci pada 19 November 2008. Ini bermakna saya berhenti rehat sementara daripada posting untuk blog ini. Di kampung kemudahan akses internet agak sukar. Lagipun kesempatan untuk itu hampir tiada.
Kepada teman-teman yang lewat lalu menjengah ke sini, saya mengucapkan "widak" buat semua. Mudahan widak ini cuma sementara dan akan bertemu kembali pada tahun hadapan.
Safar haji yang akan aku telusuri ini tentunya satu perjalanan kerohanian dan pengalaman yang penting dan mungkin boleh dikongsikan bersama nanti. Mudahan Allah memberkati perjalanan saya. Ameen.

BAHAN KURSUS HAJI 4

BAHAN KURSUS HAJI 3

BAHAN KURSUS HAJI 2

BAHAN KURSUS HAJI 1

PUISI 100 RANGKAP

November 6, 2008

Minggu-minggu terakhir persekolahan, aku memabacakan puisi nasihat buat murid-muridku di tahun 6. Aku namakan puisi itu sebagi gurindam jiwa biarpun ia bukanlah memenuhi ciri penuh sebuah gurindam dalam tradisi kususasteraan Melayu. Aku Berikan tajuk puisi itu sebagai " Dari Syurga Kembali Ke Syurga". Murid-muridku menghargai puisi ini dan mereka menyalinnya. Sebilangannya amat berminat dan membacakan berulang kali dalam kelas dengan rentak dan irama mereka. Aku sarankan mereka membacakan buat ibu, ayah serta adik abang mereka.
Inilah puisi karyaku...
" Dari Syurga Kembali Ke Syurga".

Adam itu manusia pertama
Dicipta Allah tanah asalnya
Lalu disimpan dalam syurga
40 tahun hampir dilupa
bila sudah sampainya masa
semua malaikat dikumpul semua
bersama Azazil dialah ketua
kepada Adam sujudlah segera.
Semua malaikat sujudkan Adam
Kecuali Azazil yang direjam
Merasa diri tingginya maqam
Melawan Tuhan penuh dendam
Kepada Tuhan ia berkata
Adam itu makhluk yang hina
Dari tanah asal kejadiannya
Asalku api lebih mulia
Murkalah Tuhan pencipta segala
Azazil durjana lalu dicela
Diharamkan dari masuk ke syurga
Lalu digelar Iblis durhaka
Berlalulah Iblis berputus asa
Dendam kesumat penuh di dada
Di depan Tuhan bersumpahlah ia
Akan menipu Adam dan keturunannya
Kepada Tuhan lalu dipinta
Agar diberi hidup yang lama
Tiada mati selama di dunia
Oleh Tuhan lalu diterima
Tinggallah Adam dalam syurga
Seorang diri tiadalah gembira
Lalu dicipta Tuhan yang kuasa
Seorang wanita bernama Hawa
Dalam syurga tinggallah berdua
Bebas pergi ke mana-mana
Bebas makan segala buahnya
Hati riang tidak terkata
Dalam syurga sepohon kayu
Adam dilarang mendekat ke situ
Iblis mendengar larangan itu
Menyimpan azam untuk menipu
Sampailah masa datanglah peluang
Di kala waktu masa terluang
Adam dihasut tak dapat dihalang
Lalu dimakannya buah terlarang
Adam dan Hawa lalu disingkir
Jatuh ke dunia sebagai musafir
Itulah janji Tuhan yang Kabir
Tiada sekali dia mungkir
Hilanglah sudah nikmatnya syurga
Hidup di dunia tidaklah sama
Sehari-hari terpaksa bekerja
Penat dan lelah tidak terkata
Adam memburu mencari rusa
Bercucuk tanam menunggu hasilnya
Ada masa sakit menjelma
Kepada syurga rindu terasa
Setelah berlalu sekian masa
Lahirlah Qabil seorang putera
Kemudian Habil lahirlah pula
Masing-masing kembarnya wanita.
Bila mereka telah dewasa
Masing-masing memilih kerjaya
Habil bekerja sebagai gembala
Qabil pula rajin berhuma
Sampailah masa ditentukan Allah
Qabil Habil perlu bernikah
Agar manusia makin bertambah
Memakmur dunia sebagai khalifah
Qabil di suruh segera   nikahkan
Adik Habil sebagai pasangan
Qabil benci hatinya enggan
Adik sendiri itulah pilihan
Oleh Adam disurah berkorban
Qabil dan Habil buat penentuan
Kurban siapa diterima Tuhan
Ternyata  Habil menjadi pilihan
Dendamlah Qabil kepada adiknya
Datanglah Iblis membuat angkara
Disuruh Qabil membunuh segera
Adiknya Habil di kala leka
Matilah Habil pemuda pilihan
Dibunuh abang kerana perempuan
Itulah pertama darah ditumpahkan
Titik pertama sebuah pembunuhan
Hari bersilih berganti masa
Manusia lahir mengisi dunia
Zuriat Adam bertambah bilangannya
Hidup aman damai sentosa
Mereka manusia di dalam iman
Menyembah Allah sebagai Tuhan
Perbuatan syirik mereka jauhkan
Pesanan Adam jadi pegangan
Iblis sentiasa mencari peluang
Kepada manusia berbuat temberang
Apabila datang peluang terbentang
Lalu disebar ajaran songsang
Patung pujaan disuruh bangunkan
Setiap rumah sebagai kenangan
Bertambah cantik sebagai hiasan
Akhirnya patung jadi pujaan
Manusia tidak lagi beriman
Agama Adam mereka lupakan
Jalan syaitan menjadi ikutan
Sesatlah mereka di pangkal jalan
Datanglah zaman seorang nabi
Itulah Nuh nama diberi
Berhala disembah di sana sini
Manusia sudah lupakan diri
Nuh mengajak siang dan malam
Hatinya sabar kuatkan azam
Ingatkan kaumnya agama Adam
Diajak keluar dari kelam
Kaum nabi Nuh amatlah ingkar
Mereka bangsa sukar diajar
Dunia sementara itulah dikejar
Mereka degil Nuh bersabar
Nuh berdakwah cukuplah lama
Pengikutnya 80 orang cuma
Hampir seribu tahun berganti masa
Hinggalah Nuh berasa kecewa
Nuh berdoa kepada Tuhan
Agar segera diturunkan  hujan
Supaya banjir seluruh alam
Kaum degil dapat balasan
Doa Nuh dikabul ilahi
Balasan Tuhan sudahlah pasti
Akan berlaku sebagai dijanji
Nuh diperintah siapkan diri
Sebuah bahtera binakan segera
Agar selamat di waktu bencana
Kelak manusia kekal di dunia
Janganlah lemas mati semua
Sampailah masa hujan pun turun
Amat lebat hati pun gerun
Air melimpah di segala cerun
Tenggelamlah segala semak dan samun
Hujan tak henti berhari-hari
Air melimpah ke paras tinggi
Manusia ingkar berlari-lari
Mencari tempat menyelamatkan diri
Bahtera Nuh belayar megah
Alun dan ombak semua diredah
Hatinya sentiasa syukurkan Allah
Tidak tergolong orang yang musnah
Nuh melihat anak sendiri
Dalam banjir hampirlah mati
Nuh memanggil mari kemari
Wahai anak ke bahtera ini
Anak Nuh degil dan sombong
Dia menunjuk ke puncak gunung
Katanya di sana dia berlindung
Ajakan bapa tidak dijunjung
Datanglah ombak bergulung-gulung
Anak Nuh tak dapat ditolong
Kumpulan musnah dia tergolong
Itulah balasan anak yang sombong
Setelah banjir menjadi surut
Mula kelihatan tanah dan rumput
Turunlah Nuh bersama pengikut
Kembali hidup sebagaimana patut
Itulah dia kumpulan manusia
Dari mereka lahirlah kita
Pertama beriman kepada yang esa
Kemudian engkar merajalela
Manusia kembali syirikkan Tuhan
Setelah mati kaum beriman
Mereke memilih patung sembahan
Mereka terpedaya pujukan syaitan
Manusia utusan merekalah nabi
Mereka datang bersilih ganti
Membawa peringatan dari ilahi
Kebencian Tuhan jangan didekati
Allah hantarkan nabi Hud
Kepada kaum ‘Ad dan Tsamud
Allah hantarkan nabi Lut
Kaumnya berdosa malu disebut
Kaum Lut amatlah jahat
Mereka bangsa suka melewat
Itulah dia sejenis maksiat
Kepada lelaki lelaki terpikat
Lelaki berkahwin sesama sendiri
Perempuan cantik tidak dipeduli
Itulah nafsu luar Tabi’i
Oleh Tuhan murka sekali
Kaum Lut dihukumTuhan
Negeri mereka diangkat ke awan
Lalu diterbalikkan jatuh menjunam
Ke dalam bumi lalu terbenam
Hari ini lihatlah kesan
Dipinggir Palastin menganjur lautan
Lautan mati itulah panggilan
Didasarnya terdapat kesan tinggalan
Terdapat pula kaum penipu
Jual beli nak untung selalu
Timbang makanan bercampur batu
Itulah peniaga seperti hantu
Kepada mereka Syuaib diutuskan
Buat memberi nasihat pengajaran
Perbuatan menipu dalam timbangan
Itulah dosa dikutuk Tuhan
Ada pula seorang raja
Itulah Namrud diberi nama
Kepadanya diutuskan rasul mulia
Nabi Ibrahim bapa ambiyaa
Namrud degil ingkar durhaka
Seruan Ibrahim tak dipedulikannya
Ibrahim dibakar dalam api menyala
Namun api tidak membakarnya
Ada lagi seorang nabi
Sebelas abang rasa dengki
Itulah Yusuf nama diberi
Oleh abang dibuang ke perigi
Yusuf si kecil sabar sentiasa
Di negeri Mesir menjadi hamba
Lalu diperdaya dihumban ke penjara
Akhirnya dilantik jadi menteri Negara
Di negeri Mesir yang kaya raya
Pernah terjadi satu peristiwa
Rajanya Firaun bermaharajalela
Membunuh rakyat di sini sana
Dari kerana mimpi sang raja
Dibunuh rakyat tidak berdosa
Anak lelaki dibunuh semua
Anak perempuan dibiar sahaja
Kala tetap takdir ilahi
Musa lahir tak disedari
Dihanyutkan ibunya dalam kali
Menuju istana Firaun sendiri
Walau Firaun amat berusaha
Menghalang takdir Tuhan semesta
Tiadalah dia mampu menghalangnya
Musa membesar dalam istananya
Bila Musa telah dewasa
Diutus Allah membawa perintahnya
Firaun disuruh ingat sentiasa
Kuasa Allah tiada tandingannya
Musa berdakwah tidaklah gentar
Kuasa Firaun lalu dicabar
Oleh Firaun ia dikejar
Bersama Israel kaum yang engkar
Firaun karam di laut merah
Musa selamat dibantu Allah
Itulah cerita amat bersejarah
Buat renungan dalam berdakwah
Ada pula seorang nabi
Amatlah kaya tidak terperi
Itulah Sulaiman nama diberi
Memerintah manusia jin dan juga peri
Di zaman Sulaiman tersebar sihir
Kepada manusia Syaitan pun hadir
Manusia belajar begaimana menyingkir
Agama Allah lalu dimungkir
Allah mengutus seorang nabi
Itulah Isa nama diberi
Kepada bangsa namanya Yahudi
Terhadap Isa mereka ingkari
Yahudi itu bangsa yang jahat
Membunuh Isa mereka sepakat
Namun Allah Dialah penyelamat
Nabi Isa ke langit diangkat
Janji Allah kepada manusia
Bila dajal sedang berkuasa
Di dalam dunia berbuat angkara
Turunlah Isa lalu membunuhnya
Setelah banyak nabi diutus
Kepada manusia tidaklah putus
Lalu turunlah Ruhul Qudus
Membawa wahyu nabi pemutus
Nabi Muhammad nabi penamat
Dialah nabi sebelum kiamat
Seluruh manusia dialah penyelamat
Bagi mereka yang taat
Tiada lagi sesudah baginda
Diutus nabi kepada manusia
Siapa mengaku nabi mulia
Dialah pendusta dajal belaka
Pernah ada dalam sejarah
Nabi palsu namanya Musailamah
Seorang pendusta di zaman nubuwwah
Akhirnya mati dibunuh khalifah
Zaman berzaman besilih ganti
Adalah manusia mengaku nabi
Wahai saudara serta saudari
Kepada mereka janganlah percayai
Nabi Muhammad pernah berpesan
Dua perkara aku tinggalkan
Buat umatku sebagai pedoman
Itulah Hadis dan juga Al-Quran
Siapa berpegang dengan keduaya
Akan selamat buat selama
Tiadalah sesat susah diperdaya
Dalam dunia tidak tergoda
Setelah Nabi meninggal dunia
Abu Bakar khalifah gantinya
Kemudian Umar menggantinya pula
Ustman dan Ali sesudah mereka
Islam yang lemah makin berkuasa
Empayar Islam menguasai dunia
Zaman berzaman di atas persada
Musuh melihat tunduk semua
Timur dan Barat dalam genggaman
Genggaman Islam beberapa zaman
Seribu tahun dalam keamanan
Mencipta tamadun buat insan
Datanglah zaman islam pun lemah
Kerana muslimin lupakan Allah
Negara sendiri ditawan penjajah
Hilanglah sudah keagungan sejarah
Umat islam sering ditindas
Harta benda pula dirampas
Apalah guna masa yang lepas
Mengenang zaman sebelum tumpas
Kini palestin bumi berdarah
Oleh Israel buminya dijarah
Rakyatnya hidup bertambah susah
Setiap hari derita bertambah
Bumi Irak dijajah Amerika
Sampai kini masih sengsara
Rakyatnya hiba tiada mulia
Masih mengharap aman kan tiba
Bumi Afghan terus bergelora
Tentera Amerika masih di sana
Mujahidin Taliban berjuang sentiasa
Rakyat hidup terancam nyawa
Selatan Thailand terus bergoncang
Rakyat Islam terus berjuang
Bom meletup malam dan siang
Ramailah yang mati mayat bergelempang
Bumi Mindanau selatan Filipina
Digempur oleh tentera Manila
Rakyat Islam mahu medeka
Kerajaan kafir enggan memberinya
Bumi Indonesia pulaunya beribu
Di sana sini bergoncang selalu
Gempa dan peperangan tak kenal waktu
Ramai yang mati di Ambon dan Maluku
Demikianlah rintihan dunia Islam
Di sana sini sungguhlah kasihan
Nyawa melayang tiada taruhan
Harta direbut dalam tangan
Ini semua balasan Allah
Bagi manusia menjadi ibrah
Untuk renungan sepanjang sejarah
Agar selamat dari musibah
Nyatalah sudah akhirnya zaman
Segala hadis menjadi kenyataan
Zaman kian mendekat kemusnahan
Kiamat  dekat tiada keraguan
Dalam hadis telah disebut
Dajal keluar sebagai taghut
Mendakwa diri sambil menghasut
Menyebar cerita dusta dan karut
Ramailah orang ikutkan dajal
Mereka kelak akan menyesal
Kerana dajal mereka tabal
Tuhan sebenar mereka tak kenal
Dalam hadis disebutkan nabi
Akhir zaman kelak terjadi
Terbitnya matahari di satu hari
Sebelah Barat munculkan diri
Manusia berdosa kekal berdosa
Pintu taubat ditutup selamanya
Sesal  menggunung tidak berguna
Itulah ketetapan Tuhan semesta.
Tiada siapa tahu rahsia
Itula tarikh kiamatnya dunia
Hanya Allah tahu tentangnya
Tiada juga malaikat mulia
Bila sampai ajal dunia
Israfil meniup serunai sangkakala
Hancurlah dunia segala isinya
Tiada yang selamat  di maya pada
Manusia dan jin mati semua
Segala isi dunia semesta
Turut hancur berkecai segala
Sunguhlah hebat kuasa Pencipta
Manusia akan dibangkitkan kembali
Dikumpul mereka di Mahsyar nanti
Dihitung segala amal diri
Di sanalah tahu nasib menanti
Siapa berat amal baiknya
Dialah penghuni syurga nan loka
Hidup bahagia buat selama
Itulah balasan dambaan kita
Siapa berat amal durhaka
Dialah penghuni neraka bernyala
Di sana menderita buat selama
Itulah balasan kita tak suka
Cukuplah sudah sebuah cerita
Telah kulakar cerita manusia
Amatlah panjang buat semua
Marilah kita renungkan bersama
Bacalah gurindam di kala sunyi
Waktu sendirian di malam hari
Agar bertambah keinsafan diri
Subur mekar iman pun bersemi
Sekian
Karya Ustaz Kamaruddin
Telah disempurnakan pada:
5 November 2008, Jam 11.30 Tengahari.
Dididekasikan untuk Murid-murid Tahun 6 A
Sk, Sibugal Besar,Sandakan Sabah.
Sebagai hadiah minda buat mereka semua yang tahu menilai karya cendikia.

KUTINGGALKAN RAMBU WARISAN ITU

November 5, 2008

"Siapa yang nak bawa turun kita?", Ibuku bertanya melalui talifon. Aku menalifon ibu bertanya mengenai persiapannya untuk keberangkatan menunaikan haji yang tinggal beberapa minggu lagi.

"Kita turun sendiri...", aku memberitahu ibuku.

"Tak kan turun sendiri...biasa orang minta ustaz Ismail atau Pak Lang Mail...", ibuku membalas,"mereka akan berdoa untuk keselamatan kita...semua orang buat begitu...", lanjut ibuku.

"Tak apa...kita tak perlu ikut cara itu...saya tak mahu mengamalkan kebiasaan itu...", Aku menegaskan untuk ibu."amalan itu tidak diajar oleh Rasul...tak perlu orang menurunkan kita, tak perlu azan sebelum berangkat...". lanjutku menyatakan alasanku.

"Kalau begitu tak apalah...anak ibu juga seorang ustaz...", ibuku akhirnya akur.

Alhamdulillah...Ibuku memahami kehendakku. Dalam banyak keadaan, ibuku sering menerima nasihatku. Aku masih ingat satu ketika dahulu, keluargaku mengadakan satu kenduri kahwin untuk salah seorang adikku. Seekor kerbau disembelih untuk dijadikan lauk. Ketika orang kampung sedang melapah kerbau tersebut, seorang makcik dari kalangan kerabatku datang membawa besen dan menghulurkan kepadaku.

"Ambil sedikit daging tu nanti...kita buat gulai sulung...", katanya.
"Apa?", aku terkejut dengan istilah gulai sulung.

Tak puas hati, aku bergegas berjumpa ibu dan bertanyakan apakah yang dimaksudkan dengan gulai sulung. Lalu ibu menerangkan kepadaku.

"Itu amalan orang tua-tua kita bila sembelih binatang yang kita bela...buat gulai sulung...minta pak lebai bacakan doa...hadiahkan kepada arwah nenek moyang...", ibuku memberi sebab kewajarannya.

Aku dapat menangkap kekhurafatan dalam amalan gulai sulung ini.

"Tak payahlah buat...ini semua amalan warisan yang karut...", aku memujuk ibuku dengan lembut agar tetamu yang berdatangan tidak mendengar bualan kami.

"Masakan gulai tu pula ada cara tersendiri...kakak pun tau cara masakannya...Imak pun tak tau," kakak sulungku menambah seolah-olah membakar semangatku.

Kata-kata kakakku memang menambahkan semangatku membasmi amalan itu.

"Tak perlulah gulai sulung...ini warisan paganism yang mengadatkan sebahagian sembelihan diperuntukkan kepada roh nenek moyang...lalu bila dah masuk Islam adat ini diislamkan dengan membacakan doa dan tahlil...saya tak setuju diteruskan..", aku menjelaskan. Tak tahulah apakah ibuku memahami atau tidak. Namun, kakakku seperti faham.

Maka pada hari itu tidaklah ada gulai sulung. Ibuku pada mulanya rasa berat juga. tTaku kecil hati orang yang menyarankannya, katanya. Aku dengar ada suara makcik tadi bahawa jika gulai sulung tidak dibuat, ada sesuatu yang buruk akan terjadi kepada majlis. Seperti lauk tak cukup untuk tetamu, tumpah dan sebagainya. Katanya itu memperkuatkan tekadku untuk meniadakan gulai sulung.

Ternyata majlis berjalan lancar dan tiada apa-apa musibah menimpa.

Aku sering menyertakan nasihatku kepada ibuku dalam hal-hal meneruskan beberapa amalan orang tua-tua ini dengan mengatakan

"Ibu telah menyekolahkan saya, menghantar saya belajar hingga ke universiti...sia-sialah jika pendapat anak ibu ini tak mahu diterima tetapi mengambil pendapat makcik-makcik kampung yang tak bersekolah...",

Biasanya ibuku lembut dengan mantiq itu dan kembali mendokongku. Aku bangga dengan sikap terbuka ibuku yang tahu menghargai keilmuan anaknya.

Pernah juga semasa majlis kendiri kahwin adikku, satu amalan lain cuba diamalkan dalam keluargaku.

Adik perempuan bongsuku keluar mencariku dengan cemas dan memberitahuku.

"Cuba abang lihat..Apa Pak Long tengah buat kat dalam...", kata adikku itu.

Aku masuk ke dalam. Kelihatan seorang yang warga kampung yang aku sering bahasakan sebagai Pak Long sedang melakukan sesuatu. Dia duduk bersila di depan sebuah timba besar berisi air.

"Apa tu...", aku bertanya tak mengerti.
"Biarlah...jangan dilarang...", kakak sulungku yang duduk di muka pintu menasihatkan aku.
"Yalah...untuk apa tu?", aku tak puas hati selagi tak tahu duduk perkara.
"Untuk mandi adik...tolak bala..", kakakku menerangkan.
"Hah?, siapa yang memandai-mandai bawa masuk amalan ini ke dalam rumah kita?",aku merasa api kemarahan sedang menggelegak dalam dada.
"Mak Ngah...", adik bungsu mencelah.

Aku ingin pergi memberhentikan bacaan Pak Long itu. Tapi memikirkan bahawa dia akan malu dengan sebab perbuatanku nanti, aku bersabar sehingga dia keluar. Apabila Pak Lung itu sudah menyerahkan timba air tersebut kepada adikku yang diraikan perkahwinannya dan dia keluar, aku masuk ke dalam. Aku terus bertemu adikku itu dan memberi perintah seorang kamander.

"Jangan mandi dengan air tolak bala ini...tuangkan...", kataku di pintu bilik air.

Adikku akur. Dia masuk ke bilik air dan menutup pintu. Aku mendengar bunyi air dalam timba dituangkan.

Dalam sesi keluarga keesokkannya aku timbulkan pasal mandi tolak bala. Seluruh keluargaku sebenarnya bersetuju dengan apa yang aku katakan. Namun, begitulah hidup dalam kampung, ada kaum kerabat yang tidak memahami dan cuba mengamalkan kebiasaan mereka ke dalam keluargaku.

Rambu-rambu amalan warisan yang aku kategorikan sebagai khufarat sama ada dari segi amalan maupun pemikiran aku tak biarkan ada dalam keluargaku. Cerita ini sebagai renungan kepada insan lain yang mungkin menghadapi situasi yang sama atau yang lebih lagi.

Kini dalam aku bersama ibu mahu pergi melaksanakan haji, masih ada sisa rambu warisan yang menyusup. Aku tidak menghargai amalan ini dan aku tidak akan menyetujuinya. Ia tak berasas. Itulah alasanku secara generalnya.

"Tapi amalan ini diamalkan oleh lebai-lebai dan orang beragama...", ada orang berhujah begitu
"Mereka cuma bertaklid kepada rambu warisan...", aku menegaskan itu dalam menegakkan prinsip.
Padahal...aku akan telah tinggalkan rambu warisan itu.

ISTERI KEDUA

November 4, 2008

Kepada Srikandi Muda...izinkan saya memetik cerita dari blog anda...ia sungguh menyentuh rasa. Saya suka membacanya dan ingin sahabat lain turut membacanya. Iktibar buat mereka yang bernama suami dan juga isteri.


Karya:
Oleh `Izzat Anwari bin Hasni


"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Fikri tegas dan yakin.


Tiba-tiba mata Fatimah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.

"Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Fatimah dengan suara tersekat-sekat.

Mata Fikri liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fatimah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fatimah langsung tidak selari dengan penampilannya.

"Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya… Fatimah mula sebak.

"Tak. Maksud saya…"

"Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Fatimah dengan kasar.

"Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?" suaraFatimah semakin tinggi, setinggi egonya.

Fikri diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fatimah' di sebalik Fatimah yang dia kenal selama ini.

Fatimah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Fikri seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu.
Fikri muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.

"Ada hikmah," bisik hati kecil Fikri, sekecil pandangannya terhadap Fatimah.


Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Fikri sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yangmembawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak.

Keyakinan serta keaktifan Fikri berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam jemaahnya. Malah, Fikri dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agamayang dianutinya sejak sekian lama. Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fatimah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Fikri. Bagi Fatimah, Fikri seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Fikri melamarnya menjadi isteri kedua.

Fikri masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fatimah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik denganFatimah, namun sikap Fatimah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Fikri tersebut. Bagi Fatimah, Fikri tak ubah sepertilelaki lain.

Gerak kerja dakwah Fikri berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu kehilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnyasibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Fikri semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya.

Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Fikri – sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Fikri.
Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Fikri dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Fikrisekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiriperjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Fikri menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fatimah atau tidak?

Fikri bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut.
Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Fikri berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya. Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Fikri mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fatimah.

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Fikri tanpa segan silu.
"Sudi," jawab Nusaibah ringkas.
"Er, betul ke ni?" tergagap Fikri menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.
Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Fikri.
"Kenapa saya?" tanya Fikri ingin tahu.

"Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.
"Baiklah," jawab Fikri tersenyum.
Akhirnya, Fikri dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini.

Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Fikri terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Fikri semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Fikri membawaNusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya.

Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Fikri. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.

"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.

"Ye sayang?" jawab Fikri sambil memandu.

"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang,"luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.
"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Fikri menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.
"Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Nusaibah riang.

Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Fikri dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri keranausahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Fikri yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Fikri aktif dalam dakwah sebelum ini.
"Kita dah sampai," Fikri membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail di tangannya.
Fikri berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.
"Itu isteri pertama abang," Fikri menuding jari ke arah khemah tersebut
"Mana bang?" Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Fikri.
"Tak nampak pun," Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.
"Siapa nama isteri pertama abang?" Nusaibah sangat berdebar.
Fikri tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.
"Perjuangan, " jawab Fikri.

HAJI TAMATTU'


Mengikut jadual penerbangan yang diberikan kepadaku, keberangkatanku ke Makkah bagi KT54 adalah pada 19 November 2008 bersamaan dengan 21 Zulkaedah 1429. Miqat yang ditentukan untuk penerbangan tersebut adalah Qarnul Manazil. Bermakna, penerbangan tersebut akan membawaku mendarat di Lapangan Terbang Jeddah.

Dari tarikh ketibaan di Makkah sehingga ke tarikh 8 Zulhijjah, aku mempunyai sekitar 17 hari. Ia tentunya satu tempoh yang agak lama dan wajarlah haji Tamattu' menjadi pilihan.

Dalam melaksanakan ibadah haji, terdapat 3 kaedah perlaksanaan haji yang dibolehkan iaitu Haji Ifrad, Haji Tamattu' dan Haji Qiran.

Aku kurang mendalami ilmu haji sejak zaman persekolahan dahulu. Pelajaran haji yang dimasukkan dalam silibus semasa tingkatan 5 di sekolah menengah dahulu aku belajar sambil lewa sahaja kerana belajar tanpa praktikal memang susah untuk diingati. Aku sekadar mendengar pembahagian haji berdasarkan nama-nama tersebut namun aku tidak cukup memahaminya. Masih kebingungan dan keliru. Kendati sehingga baru-baru ini pun aku kurang memahami istilah-istilah ini. Semuanya kerana aku tidak bersungguh-sungguh mempelajarinya kerana ketiadaan keperluan. Kursus bersiri haji yang diadakan oleh pihak Tabung Haji aku tidak hadiri kerana hujung minggu yang sering padat dengan program. Aku cuma menampakkan diri dalam Kurusus Intensif dan Kursus Perdana dan dari sana aku bertekad untuk memahaminya.

Tambahan pula lambaian haji sudah mula terasa. Dan kini setelah mendapat kepastian terpilih untuk melaksanakan haji pada tahun ini, aku melipatgandakan pembacaan mengenai haji untuk memahaminya dengan lebih mendalam.

Haji Tamattu' adalah bagi orang yang bukan tinggal di Makkah yang datang awal. Apabila melalui Miqat makani (tempat berniat) yang telah ditentukan, hendaklah berniat melakukan umrah dan memakai pakaian ihram. Apabila sudah berniat umrah dan memakai pakaian ihram, perlulah mematuhi pantang larang yang telah ditetapkan iaitu pantang larang berkaitan pakaian, wangian, kecantikan, alam sekitar dan hubungan suami isteri. Masuk ke Makkah, lakukan Tawaf, sa'i dan kemudian bertahallul dengan menggunting atau mencukur rambut. Dengan tahallul tersebut, bebaslah dari segala pantang larang yang dikenakan. Keadaan bebas daripada segala pantang larang tersebut berlangsung sehinggalah hari ke-8 bulan Zulhijjah. Pada hari tersebut, kita perlu berniat ihram semula untuk melaksanakan haji pula. Oleh kerana kita sudah berada di Makkah dan tak perlulah lagi keluar ke Miqat. Berniat sahaja di penginapan sendiri dan pakailah ihram. Setelah itu laksanakan rukun-rukun dan wajib haji yang telah ditentukan sehingga selesai sambil menjaga segala pantang larangnya. selepas bertahallul buat kali yang kedua, perlulah membayar dam iaitu denda. Denda memang tak dapat dielakkan bagi haji tamattu'. Pertama kerana kita telah bersedap-sedap membebaskann diri daripada pantang larang semasa ihram dengan bertahallul kali pertama dahulu. Keduanya kerana kita berniat tidak di miqatnya. Damnya adalah sekurang-kurang seekor kambing.

Aku faham kini haji yang akan aku lakukan. Haji Tammatu'. Mudahan Allah menerima hajiku.


حجًّا مبرورًا، وذنبًا مغفورًا، وعملاً متقبلاً إن شاء الله تعالى

Rujukan: Islam Online

KONVOKASYEN PASTI KALI KE 19

November 2, 2008

Pada hari ini, Majlis Konvokasyen PASTI bagi Zon Sandakan kali ke 19 telah diadakan di Hotel Sabah, Sandakan. Majlis telah dirasmikan oleh Sdr Anwar Ali. Lepasan 7 PASTI Zon Sandakan termasuk sebuah dari Kinabatangan telah diraikan dan dinugerahkan sijil masing-masing. Ibu bapa murid-murid PASTI telah hadir menunjukkan komitmen masing-masing seawal jam 7 pagi. Hasil kerjasama dan kerja sepakat AJK yang terlibat  serta komitmen para guru PASTI telah menjayakan program pada hari ini.
Sesungguhnya inilah cabang pendidikan Islam bagi anak-anak seawal umur sebelum persekolahan yang tidak kurang pentingnya. Persembahan oleh murid-murid PASTI memperlihatkan corak pendidikan yang digariskan oleh PASTI.
Semoga PASTI terus maju menempa amalulillah...dari kalangan yang mukhlasin....
Bertindak sebagai pengarah program pada hari ini, aku mengucapkan penghargaan setinggi-tingginya kepada seluruh AJK yang berkerja keras, para guru PASTI  dan para petugas program yang juga berkerja kuat menjayakan majlis konvokasyen ini. Sesungguhnya mereka semua telah memperlihatkan komitmen dan tanpa mengharapkan pamrih dalam menjalan kerja agama.  
Allahumma baarik li wa lahum...

* Pamrih: Upah atau ganjaran.

Siapa yang Allah kehendaki kebaikan...diberikan faham dalam agama

November 1, 2008


Faham adalah satu yang sangat mahal nilainya. Burung tiung boleh berbicara, tetapi dia tidak faham apa yang dibicarakannya. Jika manusia yang berbicara dan tidak faham apa yang dibicarakannya, maka ia tidaklah jauh beza daripada sang burung tiung. Faham yang paling utama adalah faham dalam agama. Banyak orang mempunyai ilmu agama, tetapi sedikit yang faham agama yang dianutinya.

Sebab itu, Rasulullah SAW bersabda:

من يرد الله به خيرا يفقهه في الدين

Maksudnya: Sesiapa yang Allah menghendaki kebaikan kepadanya, Allah jadikan dia faham dalam agama.

Kefahaman dalam agama inilah yang telah Allah kurniakan kepada ramai sahabat. Kefahaman inilah yang Rasulullah saw doakan untuk Ibn Abbas:

اللهم فقهه في الدين وعلمه التأويل

Dr. Yusuf Al-Qaradhawi membahagikan faham dalam agama ini kepada 5 bahagian:
  • Memahami maqasid syariat
  • Memahami aulawiyyat
  • Memahami sunnah alam (Sunnatullah)
  • Memahami perimbangan antara Masalih (Kebaikan) dan Mafasid (Kerosakan)
  • Memahami perselisihan kalangan muslimin.

Memahami agama yang disebut sebagai "Tafaqquh fi deen" bukan bermaksud menguasai ilmu agama tetapi mampu mengaplikasikan ilmu agama tersebut dengan selari dengan tujuan sesuatu disyariatkan, keutamaan dalam perkura yang menuntut pilihan, meraikan sunnah alam, tahu menimbang mana yang memberi masalahah atau lebih ringat mafasidnya serta mengerti bahawa persilihan muslimin dalam hal ijtihadi adalah sentiasa benar.

Sesungguhnya orang yang faham agama akan berdiri dalam masyarakat sebagai manusia yang unik. Tidak akan ramai manusia yang sebegini kerana tidak akan ramai manusia yang diberikan kebaikan melebihi orang lain. Mereka adalah golongan yang sedikit.


Demikian tidak ramai hamba Allah yang bersyukur kerana hamba yang bersyukur adalah sedikit. Firman Allah swt:

وَقَلِيلٌ مِنْ عِبَادِي الشَّكُورُ
(Dan hanya sedikit hambaku yang bersyukur)

Kerana itu Umar Al-Kattab berdoa:

اللهم اجعلني من القليل

Wahai Allah...jadikan kami golongan yang sedikit. Golongan yang bersyukur kepadamu. Golongan yang memahami agamamu!